Sembelih lembu hanya 10 minit - Utusan Malaysia

Sembelih lembu hanya 10 minit

Khairy Jamaluddin (kiri) dan Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menyaksikan demonstrasi penggunaan sangkar penyembelihan mudah alih di ibu negara baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menjelang sambutan Hari Raya Ailadiladha, umat Islam akan sibuk membeli haiwan ternakan yang sesuai. Ia bagi memenuhi tuntutan ibadah korban yang hukumnya sunat muakad.

Justeru program utama selepas solat Aidiladha di masjid-masjid adalah menyembelih ternakan sama ada kambing, lembu atau kerbau.

Jumlah mereka yang menyertai ibadah korban akan menjadi penentu bilangan ekor ternakan yang hendak disembelih.

Bagi sesebuah masjid kadangkala bilangan ternakan agak banyak sehingga berpuluh ekor menyebabkan kerja-kerja menyembelih sehingga mengagih daging berlangsung hingga lewat petang.

Menyedari kesulitan yang sering dihadapi semasa menyembelih haiwan korban menggunakan kaedah manual, seorang pereka cipta tampil dengan inovasi Sangkar Penyembelihan Mudah Alih.

Inovasi tersebut direka oleh Hamizan Hashim yang juga sentiasa komited memikirkan bagaimana rekaan perlu dihasilkan bagi menyelesaikan masalah harian dalam bidang inovasi.

Ciptaan beliau memberi inspirasi kepada individu dan masyarakat akan keperluan merealisasikan idea kepada produk yang mampu memberi manfaat besar kepada sesebuah komuniti.

Menurut Hamizan, selain kemahiran dan pengalaman dalam kimpalan besi, beliau juga membuat rujukan di Internet untuk mendapat idea tambahan. Ia terbukti banyak membantu dalam menghasilkan produk tersebut.

Sangkar yang diperbuat dari besi keluli itu boleh menggantikan teknik tradisional sembelihan haiwan ternakan kepada proses yang lebih mudah, cepat dan terurus.

Selain itu, ia dapat memastikan penjarakan sosial dan meminimumkan tenaga kerja kepada tiga orang sahaja. Ini amat praktikal dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berkuat kuasa.

Baru-baru ini, satu demonstrasi penggunaan sangkar tersebut yang diperkenalkan semula diadakan di Biotechnology Incubation Centre, Technology Park Malaysia (TPM), Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Ia disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin.

Mesin yang pertama dihasilkan itu bermodalkan RM3,500. Ciptaan tersebut terlibat dalam program Inovasi Sosial Malaysia (MySI) pada 2015 bagi projek di beberapa tempat sebagai penerima manfaat bagi produk inovasi ini.

 

Tempat tersebut termasuklah antaranya Masjid Nurul Khair, Semariang Batu, Kuching; Masjid Annur, Tuaran, Sabah; Masjid Tangga Batu Pekan, Melaka; Masjid Sultan Ahmad Shah, Jengka,

Pahang; dan Masjid Jamek Sungai Abong, Muar, Johor.

Dalam pada itu, Hamizan turut membuat penambahbaikan dengan menaik taraf teknik mekanikal kepada sistem hidraulik. Ia bagi mempercepatkan lagi proses penyembelihan seekor lembu kepada kira-kira 10 minit sahaja.

Katanya, spesifikasi inovasi sembelihan tersebut diterjemahkan daripada sunah Rasulullah SAW iaitu antaranya bersikap ihsan terhadap haiwan yang hendak disembelih dan mengurangkan stres haiwan itu.

Pada akhir program, daging lembu seberat hampir 300 kilogram yang siap dilapah diagihkan kepada 250 penerima termasuklah penghuni di Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

 

Ringkasan penggunaan sangkar
» Lembu hanya perlu ditolak masuk ke dalam kurungan.
» Kemudian badannya dikepit dan dikunci dengan dua rangka besi berukuran 4 x 6 kaki bagi tujuan menghalang pergerakannya.
» Seterusnya, kepala lembu dikepit pada pengapit melalui ruangan di hadapan sangkar sedia disembelih.
» Bagi memudahkan proses penyembelihan, sangkar tersebut boleh dipusingkan untuk menumbangkan atau membaringkan lembu tersebut.
» Setelah kedudukan selesa dan mengadap kiblat maka bolehlah melaksanakan penyembelihan dengan sempurna.

Kelebihan
» Mesra pengguna.
» Mampu mengurangkan penggunaan tenaga manusia untuk proses penyembelihan daripada 30 minit kepada lapan hingga 10 minit setiap sembelihan.
» Diperbuat daripada besi tahan karat.
» Lebih bersih dan tahan lama serta mudah dicuci.
» Takungan darah yang disediakan menjamin pengurusan penyembelihan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya