fbpx

Lambat bertudung, Ernie Zakri akui tersilap

  • Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN
  • 29 Julai 2020, 9:00 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melewatkan niat bertudung awalnya kerana memikirkan soal kerja, penyanyi, Ernie Zakri akui, itu antara perkara yang membuatkan dia cukup terkilan.

Bagaimanapun yakin dengan aturan Allah, jelas penyanyi ini, dia tahu apa yang berlaku itu lebih kepada kesilapan masa lalu.

Tidak mahu lagi terganggu dengan perasaan itu. Ernie lebih senang untuk terus bersyukur waktu ini. Malah selepas lima bulan tampil sebagai wanita bertudung dia akui cukup selesa dengan penampilannya.

“Niat bertudung ini memang sudah terbit sejak tahun lalu, tetapi ketika itu fikirkan soal kerja jadi tangguhkan dahulu. Memang saya anggap ini satu kesilapan kerana tidak memakai tudung lebih awal.

“Apa yang lebih penting kini Allah sudah buka hati saya untuk bertudung.

“Saya tidak mahu lagi mengenang apa yang sudah berlaku, semua mempunyai sejarah masing-masing,” katanya.

Tidak membuat keputusan melalui pendapat warganet, bagi Ernie, 28, sebelum melangkah ke fasa berbeza ini dia mengambil waktu memahami sendiri erti menutup aurat.

Jadi jika timbul pertikaian melalui pemakaian dan kariernya, perkara ini tidak akan menggoyahkan pendiriannya.

“Islam itu agama yang indah dan mudah. Soal pertikaian mengenai karier sebagai penyanyi dan sebagainya saya lebih senang bertemu dengan orang yang lebih arif. Jadi saya tidak mengambil pendapat di laman sosial.

“Pada peringkat awal, memang terasa janggal tetapi selepas lima bulan bertudung saya sudah selesa. Daripada segi penampilan memang berbeza, tetapi saya tetap orang yang sama,” jelasnya.

Ketika ada masyarakat dunia melihat penularan pandemik Covid-19 sebagai suatu musibah, Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri melihat apa yang berlaku itu sebagai membuka laluan untuk dirinya bertudung.

“Sebenarnya menutup aurat ini bukanlah suatu benda yang sukar, itu yang saya faham dan mahu sampaikan.

“Bila dunia dilanda wabak ini, saya berfikir apa yang akan berlaku jika ini adalah pengakhiran buat kita.

“Secara tidak langsung perasaan itu menguatkan niat saya bertudung sebenarnya. Saya anggap ini adalah hikmah yang indah,” katanya.

 

Ernie akui penampilan bertudung tidak menyekat dirinya terus berkarya

 

Ernie hargai sokongan

Melihat ramai rakan artis lain yang turut memberi sokongan atas penghijrahan dirinya, Ernie tidak menolak ini adalah momen penting buat dirinya. Malah dia kini juga aktif dalam kumpulan

The Khadijas yang selama ini banyak membantu dirinya meleraikan pelbagai persoalan berkaitan agama.

“Saya dijemput memasuki kumpulan WhatsApp The Khadijas. Ramai rakan artis dalam kumpulan itu. Memang seronok, memandangkan banyak persoalan yang dijawab dalam kumpulan perbualan itu yang sedikit sebanyak membantu saya.

“Saya juga menerima tawaran untuk menyertai program The Khadijas yang akan ditayangkan di TV Online terbaharu, Nurflix, saya difahamkan program ini akan membariskan wanita daripada pelbagai latar belakang. Bagaimanapun segalanya masih dalam perbincangan,” katanya.

Selain mendapat sokongan rakan artis, Ernie juga sering menjadikan beberapa artis wanita bertudung lain sebagai sumber inspirasinya.

Katanya, jika ada yang melihat ada sekatan ke atas wanita bertudung sepertinya untuk pergi lebih jauh dia tidak bersetuju.

“Tidak ada kepayahan untuk saya. Kalau kita lihat walaupun sudah bertudung ramai sahaja rakan artis lain yang berjaya contohnya Neelofa dan Mira Filzah.

“Cuma yang perlu kita faham buat keputusan bertudung itu mungkin agak besar. Namun bertudung itu sendiri sebenarnya sangat mudah. Macam saya sendiri. Selepas bertudung tidak bermaksud kita sudah pandai dalam soal agama. Masih banyak sebenarnya yang perlu saya pelajari,” katanya.

Kahwin tahun depan

Menutup spekulasi bakal berkahwin tahun ini, Ernie menjelaskan, soal perkahwinan sudah lama difikirkannya. Namun mahu berlaku jujur, dia tidak melihat status dirinya akan bertukar tahun ini.

“Saya sudah 28 tahun tahun depan 29 tahun, memang saya minta doa ramai di luar sana. Cuma bukan tahun ini, mungkin tahun hadapan, doa-doakan.

“Tahun ini masih banyak yang perlu saya capai untuk diri sendiri, seperti membeli aset. Tambahan pula saya masih perlu memberi fokus kepada keluarga saya,” katanya.

Menduga hatinya dengan pertanyaan calon jodoh buat dirinya, Ernie tidak berselindung mengenai Syamel. Jejaka yang juga rakan seperjuangan dalam bidang nyanyian, ada ciri-ciri penyanyi ini yang menawan hatinya.

“Setakat rupa, manis itu ada. Tetapi apa yang penting saya cari dalam seorang lelaki adalah sikap menghormati keluarga saya. Sebab keluarga sangat penting buat diri saya.

“Soal lain saya tidak boleh komen sebab kami belum mengenali satu sama lain dengan cukup mendalam,” katanya.