fbpx

24 September 2020, 5:01 pm

  TERKINI

Islam menghargai seni

RABBANI antara kumpulan nasyid masih bertahan hingga kini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUARA RUWAQ JAWI

Oleh Hairul Nizam Mat Husian

Para ulama besar dan tokoh sejarah Islam dari al-Azhar al-Syarif menegaskan tidak ada pertentangan di antara Islam dan kesenian. Bahkan Islam membenarkan sebarang aktiviti kesenian selagi kesenian yang dihidangkan adalah berasaskan dasar memelihara adab, menjaga prinsip kemasyarakatan dan akhlak.
Malah, jika dilihat dari sudut sejarah, orang yang mula-mula meletakkan kaedah-kaedah muzik dan adab adalah golongan muslim.
Dr. Mahmud Muhanna iaitu anggota Hay’ah Kibar Ulama al-Azhar (Majlis Ulama Besar al-Azhar) berkata: “Islam menyeru kepada sikap mengambil berat terhadap kesenian-kesenian yang tinggi yang pada hakikatnya adalah keindahan, kegembiraan jiwa, kehalusan perasaan, memperbaiki perasaan, pengukuhan nilai diri dan pemikiran-pemikiran yang molek melalui perantaraan gaya bahasa yang berkesan”.
Ini adalah pendirian Islam terhadap semua jenis kesenian yang membawa kepada mencapai ketinggian rohani dan jasmani.
Islam mengajar manusia memerhatikan apa yang ada di dalam alam ini yang dicipta secara bersistematik, sempurna dan indah. Ini dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah adalah indah dan Dia menyukai keindahan. (Riwayat Muslim)
Dr. Mahmud juga menjelaskan yang Rasulullah SAW juga pernah memuji keindahan suara Saidina Abu Musa al-As’ariyy. Baginda juga pernah meminta Saidatina Aisyah agar menghantar seorang yang akan menyanyi dalam majlis perkahwinan seorang wanita dari keluarga Sayyidatina Aisyah dengan lelaki daripada golongan Ansar. Permintaan baginda ini bagi meraikan sikap golongan Ansar yang suka kepada suasana gembira.

Persembahan Tarian
Selain itu katanya, Nabi Muhammad SAW pernah mengizinkan Saidatina Aisyah melihat persembahan tarian perang oleh sekumpulan orang Habsyah pada hari raya. Bahkan baginda membiarkan isteri kesayangan baginda terus melihat persembahan ini sehingga puas hati.
Seorang lagi pensyarah sejarah Islam di Kuliah Bahasa Arab Universiti al-Azhar, Dr. Abdul Maqsud Basya berkata, Islam pada hakikatnya memberi penghormatan kepada setiap pekerjaan. Ia turut menggalakkan segala aktiviti yang mempersembahkan perkhidmatan yang baik kepada agama, negara dan masyarakat. Syaratnya tidak membawa kepada hilangnya sikap malu di dalam masyarakat.
Katanya lagi, Islam tidak menentang kesenian dan tidak juga memerangi ketamadunan. Al-Mawsiliyy contohnya adalah orang yang mula-mula meletakkan undang-undang muzik. Beliau juga telah memasukkan ke dalam sistem hidangan orang Islam apa yang disebut pada hari ini sebagai adab-adab umum bagi makanan.
Menurut Dr. Abdul Maqsud Basya lagi, Rasulullah SAW satu ketika dahulu mengajar orang Islam agar makan hidangan yang berada di bahagian hadapan di samping makan dengan tangan kanan. Baginda juga bersabda yang bermaksud: Sebutlah nama Allah dan makanlah dengan menggunakan tangan kanan anda. (Riwayat Bukhari)
Adab-adab yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW ini menjadi antara nilai ketamadunan hari ini sedangkan perkara-perkara ini tidak pernah diketahui oleh manusia sebelum kedatangan baginda.
Dr. Abdul Maqsud Basya turut menegaskan Islam tidak bercanggah dengan kesenian. Namun yang akan menjadi permasalahannya adalah kandungan seni itu. Dalam cabang seni apa pun baik drama, filem atau nyanyian yang merosakkan harga diri dan nilai akhlak masyarakat, maka Islam akan mengkritik kandungan kesenian yang berbahaya kepada jati diri masyarakat.
Islam menyeru kepada pematuhan garis panduan ini supaya kesenian dapat menanam ketinggian akhlak dan harga diri di dalam sanubari masyarakat di samping berperanan memelihara mereka daripada kerosakan.
Sebaiknya, kita mencontohi mutu kesenian masa lalu yang sangat menekankan kepada pembinaan jati diri dan akhlak dalam masyarakat lampau.

Hairul Nizam Mat Husain ialah Timbalan Syeikh Ruwaq Jawi, Pusat Pengajian Ruwaq Jawi Kaherah.

POPULAR

BERITA BERKAITAN