Pak Ali Durian sasar peningkatan jualan sehingga 60 peratus tahun ini

Pak Ali Durian sasar peningkatan jualan sehingga 60 peratus tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pak Ali Durian Company (Pak Ali Durian) menyasarkan peningkatan jualan sekitar 60 peratus pada tahun ini berbanding RM2.8 juta pada 2024, susulan pertambahan permintaan ketika sesi penstriman langsung, penambahbaikan sistem penghantaran, kemudahan ruang simpanan yang lebih besar serta akses lokasi yang lebih baik.

Pengasas dan Pengurusnya, Kamarul Zaman berkata, jualan harian ketika musim puncak mencecah 1.5 tan hingga 2.5 tan, manakala di luar musim sekitar 500 kilogram (kg) hingga satu tan. 

Katanya, selain platform TikTok Shop, syarikat turut memasarkan produk menerusi Grab dan PandaMart, selain bakal bekerjasama dengan beberapa kedai serbaneka bagi menempatkan produk dalam peti sejuk di premis terpilih.

 “Kami turut menerima tempahan daripada pelanggan korporat dan sekolah. 

“Sejak berpindah ke premis baharu, jualan meningkat 100 peratus dengan TikTok Shop menyumbang 80 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan,” katanya ketika ditemui di premis syarikat itu, baru-baru ini.

Mengulas perancangan masa depan, beliau berkata, syarikat bakal memperluas penawaran produk berasaskan durian dengan membangunkan produk hiliran seperti keropok durian, ais krim durian dan variasi baharu seperti Tupai King.

Pak Ali Durian kini turut beroperasi di premis baharu berkonsepkan ‘banglo durian’ pertama di Malaysia, yang dibuka sejak Mei lalu bagi memenuhi permintaan pelanggan untuk menikmati durian secara fizikal.

“Premis baharu kami ini mampu menampung sehingga 150 pelanggan dalam satu-satu masa dan konsep ini dicetuskan hasil maklum balas pelanggan menerusi sesi TikTok Live. 

“Kami juga merancang membuka cawangan kedua pada Februari 2026, menggunakan konsep sama, selaras dengan pelan perniagaan yang dibangunkan selama setahun merangkumi penjenamaan, kualiti dan struktur pasukan,” ujarnya.

Pak Ali Durian menawarkan tiga segmen utama iaitu durian kampung, kampung kahwin dan premium seperti Udang Merah, Musang King dan Blackthorn, dengan Udang Merah Johor menjadi produk paling mendapat sambutan.

Mengulas cabaran industri, Kamarul berkata, bekalan durian yang tidak menentu menjadi antara kekangan utama dalam memenuhi permintaan pelanggan.

“Apabila bekalan durian banyak, timbul isu pengurusan stok. Namun apabila kurang, kami perlu mencari jalan untuk menampung permintaan,” jelasnya.

Beliau berkata, operasi syarikat kini disokong oleh pasukan seramai 12 orang, dengan sumber bekalan diperoleh daripada lima hingga enam pembekal tetap. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN