DALAM landskap pasaran modal Malaysia yang semakin dinamik, tawaran awam permulaan (IPO) kekal sebagai satu daripada strategi utama bagi syarikat-syarikat tempatan dalam usaha mengumpul dana, meningkatkan profil korporat dan memperkukuh kedudukan pasaran.
Dengan sokongan Bursa Malaysia dan insentif kerajaan, lebih banyak syarikat tempatan daripada perusahaan kecil sederhana (PKS) hingga ke konglomerat berskala besar yang melihat IPO bukan sekadar sebagai pintu masuk ke pasaran saham, malah sebagai landasan
pertumbuhan strategik jangka panjang.
Namun begitu, kejayaan sesuatu IPO tidak hanya bergantung kepada tarikh penyenaraian atau harga tawaran semata-mata, tetapi juga kepada strategi menyeluruh yang merangkumi penentuan masa pasaran, penilaian syarikat, komunikasi pelabur dan pematuhan peraturan.
Kini, semakin banyak syarikat tempatan mula menunjukkan minat untuk menembusi pasaran global melalui IPO, bukan hanya di Bursa Malaysia, tetapi juga di bursa luar negara.
Namun, sejauh manakah strategi syarikat tempatan untuk menembusi pasaran global?
Professor Kewangan dan Keusahawanan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, syarikat tempatan perlu membina naratif pertumbuhan yang jelas dan meyakinkan, memfokuskan kepada kelebihan daya saing dan rancangan pengembangan masa depan.
Katanya, pendedahan melalui media antarabangsa membantu meningkatkan kesedaran pelabur.
“Komunikasi awal dengan pelabur utama (pre-IPO engagement) membolehkan syarikat menilai minat pelabur dan melaras penilaian harga IPO.
“Selain itu, penyertaan dalam forum pelaburan antarabangsa seperti World Economic Forum atau Asia Financial Forum juga dapat mempamerkan potensi syarikat kepada pelabur global,” katanya.
Nik Maheran berkata, selepas memasuki IPO, syarikat perlu mengekalkan keyakinan pelabur dengan prestasi konsisten dan komunikasi terbuka.
“Penyediaan laporan kewangan berkala dan sesi taklimat kepada pelabur (investor briefing) penting untuk menjelaskan perkembangan semasa.
“Syarikat juga harus menunaikan janji pertumbuhan yang dinyatakan semasa IPO dan mempertimbangkan pembayaran dividen jika mampu.
“Strategi pengembangan seperti pengambilalihan (M&A) yang berstrategi juga membantu meningkatkan nilai syarikat. Akhir sekali, mewujudkan unit hubungan pelabur yang aktif adalah kunci utama bagi mengekalkan reputasi dan sokongan pelabur jangka panjang,” katanya.
Mengulas lanjut, Nik Maheran turut menyatakan risiko utama yang dihadapi syarikat tempatan ketika di pasaran antarabangsa ialah persepsi pelabur terhadap tahap tadbir urus korporat dan ketelusan syarikat dari Asia Tenggara.
Katanya, kekurangan pendedahan atau ketidaksesuaian piawaian pelaporan kewangan boleh menimbulkan keraguan.
“Tambahan pula, latar belakang politik dan kestabilan negara asal syarikat memberi kesan kepada keyakinan pelabur luar. Risiko lain termasuk turun naik kadar tukaran mata wang asing serta jurang komunikasi dan perbezaan budaya perniagaan antara syarikat tempatan dan pelabur luar negara,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, syarikat tempatan perlu melakukan kerjasama strategik dalam perniagaan yang melibatkan negara luar.
“Hal ini kerana untuk memberi keyakinan awal pelabur negara tersebut sebelum disenaraikan di negara tersebut.
“Selain itu, rundingan awal Government to Government (G2G) juga perlu dilakukan agar keyakinan lebih mudah diperoleh untuk tawaran saham mendapat sambutan yang baik,’ katanya.
Malah, jelasnya, untuk tujuan menarik pelabur besar, global ‘roadshow’ (jelajah promosi) kurang berkesan.
“Dalam dunia era digital, syarikat yang berniat untuk IPO di luar negara seharusnya memiliki strategi awal seperti melakukan penajaan beberapa program di negara tersebut ,” jelasnya. – UTUSAN










