KUALA LUMPUR: DYUSWAN, jenama baharu bagi syarikat Bumiputera yang dahulu dikenali sebagai D Yus Rich Enterprise, terus melangkah yakin dengan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang pertama kali diperoleh pada 2018.
Syarikat ini terkenal dengan penghasilan serunding ayam, daging serta halia bawang putih, selain pelbagai produk makanan halal lain yang memenuhi citarasa pengguna tempatan.
Pengasas DYUSWAN, Fairus Dir berkata, selepas lapan tahun beroperasi, pensijilan halal menjadi perkara penting bagi mengukuhkan kedudukan syarikat di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, proses mendapatkan sijil halal bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi pihaknya komited untuk mematuhi segala spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Jakim.
“Pensijilan halal ini amat penting kerana ia membuka peluang yang lebih luas untuk kami, sama ada untuk memasuki pasar raya, menyertai pameran halal atau mengeksport produk ke luar negara.
“Agak sukar sebenarnya kerana banyak syarat yang perlu dipenuhi, tetapi kami tetap buat ikut spesifikasi yang dikeluarkan oleh Jakim kerana yakin itu adalah jalan yang betul.
“Selain itu, kami perlu memastikan semua produk yang dihasilkan terjamin kualiti dan sentiasa mengikut spesifikasi halal supaya sijil ini dapat dikekalkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Fairus berkata, DYUSWAN juga bertindak sebagai pengeluar kontrak (OEM) bagi produk-produk halal untuk jenama lain.
“Alhamdulillah, sejak mendapat sijil halal, kami dapat membekalkan produk lebih luas dan melangkah lebih jauh ke pasaran luar negara. Keyakinan pelanggan semakin tinggi kerana mereka tahu produk ini benar-benar halal dan selamat.
“Setakat ini, DYUSWAN telah memperbaharui sijil halal sebanyak dua kali dan kini sedang dalam proses pembaharuan untuk tempoh berikutnya,” katanya.
Dalam pada itu, Fairus berkata, dengan adanya sijil halal, pihaknya turut merancang untuk mengembangkan pasaran ke luar negara.
“Dengan berkat usaha dan yakin pada produk yang disahkan halal oleh Jakim, kami mahu tembusi pasaran luar, malah lebih banyak pameran halal sedang kami sasarkan,” ujarnya.
Fairus turut menjelaskan bahawa pensijilan halal bukan sekadar memenuhi tuntutan agama tetapi juga membuktikan kesungguhan syarikat dalam menjaga kualiti produk dan kepercayaan pelanggan.
“Sijil halal ini untuk meyakinkan pengguna bahawa produk kami terjamin halal, bersih dan selamat dimakan. Ia juga satu kelebihan untuk kami dalam berurusan dengan pelanggan dan pihak berkuasa,” katanya.-UTUSAN