MYTV sasar tujuh juta pengguna - Utusan Malaysia

MYTV sasar tujuh juta pengguna

MASTURA AHMAD MUSTAFA (tengah) dan Azlina Mohd. Yusof bergambar bersama-sama wakil saluran televisyen dan radio di bawah MYTV sempena Majlis Pelancaran MYTV Mana-Mana di Aeon Tebrau City, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Platform digital yang menawarkan pelbagai saluran televisyen dan radio secara percuma, MYTV menyasarkan seramai tujuh juta pengguna menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi MYTV Broadcasting Sdn. Bhd., Azlina Mohd. Yusof berkata, sasaran itu realistik dengan mengambil kira pihaknya telah merekodkan seramai 6.3 juta pengguna di seluruh negara setakat ini dengan majoritinya masyarakat di kawasan luar bandar.

“Setakat hari ini, platform MYTV Mana-Mana menyediakan 15 saluran televisyen tempatan dan luar negara serta 12 saluran radio yang menyiarkan kandungan secara percuma. Selain giat melakukan promosi secara besar-besaran untuk meningkatkan lagi tahap kesedaran orang ramai tentang perkhidmatan ini, kita juga giat menyediakan lebih banyak saluran dan rancangan menarik dari dalam dan luar negara.

“Ini kerana selain kandungan kreatif tempatan, kita juga menyediakan kandungan luar negara termasuk dari Indonesia dan negara Eropah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Aplikasi MYTV Mana-Mana sempena Acara MyFestiva di pusat beli-belah Aeon Tebrau City, di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Digital, Mastura Ahmad Mustafa.

Azlina turut memberitahu, MYTV telah diperkenalkan sejak 2019 apabila perkhidmatan siaran televisyen secara analog ditamatkan secara rasminya di negara ini.

“Majlis pelancaran ini adalah satu detik bersejarah apabila kita melancarkan satu platform media digital yang boleh diakses secara percuma, tanpa sebarang pembayaran pendaftaran ataupun langganan bulanan.

“Sehubungan itu, kita juga menawarkan peluang kepada mana-mana pihak penyedia kandungan untuk menjana pendapatan tambahan dengan menyalurkan kandungan mereka di platform ini.

“Menariknya, platform ini tidak mempunyai apa-apa sekatan lokasi. Jadi, apabila pengguna menggunakan telefon pintar, mereka boleh akses dan dapatkan kandungan walau di mana sahaja mereka berada,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pemberian dekoder percuma untuk mengakses ke televisyen dan usaha itu masih dibuat secara berkala, khususnya apabila terdapat program yang disertai MYTV Mana-Mana.

“Sejak 2019, kita telah menyerahkan sebanyak 2.3 dekoder percuma kepada pengguna di seluruh negara dan inisiatif ini masih terus dijalankan hingga hari ini. Bagi pihak yang berminat untuk mendapatkan dekoder ini, boleh menghubungi talian khidmat pelanggan kami, iaitu 1-300-80-6988,” katanya.

Antara saluran televisyen dan radio yang boleh diakses menerusi platform MYTV Mana-Mana termasuk RTM, TV6, OKEY TV, TV Alhijrah, Bernama TV, TV Ikim, TVRI, My Cinema Europe, Enjoy TV5, Klasik Nasional, Sabah FM, Sarawak FM dan Best FM. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya