DRB-HICOM, Geely muktamad rangka kerja pembangunan AHTV

DRB-HICOM, Geely muktamad rangka kerja pembangunan AHTV

ANWAR Ibrahim menyaksikan pemeteraian perjanjian kolaborasi utama antara DRB-HICOM dan Geely sebagai komitmen kedua-dua pihak dalam sama-sama menjayakan AHTV. – FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) mencipta satu lagi detik bersejarah dengan termeterainya Perjanjian Kolaborasi Utama di antara DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) dan Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely Holding) semalam.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Hartanah dan Peranca­ngan dan Strategi Korporat, Azri Zaharuddin menandatangani bagi pihak DRB-HICOM manakala Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pegawai Operasi, Dr. Wei Mei menandatangani bagi pihak Geely Holding.

Majlis yang diadakan di Proton Tanjng Malim di sini disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pengerusi Geely Holding, Eric Li dan Pengerusi Proton, Syed Faisal Albar.

Dalam kenyataannya, DRB-HICOM berkata, kerjasama itu menetapkan prinsip-prinsip asas, rangka kerja tadbir urus dan komitmen bersama dalam pembangunan projek AHTV, termasuk peranan khusus yang perlu dilaksanakan untuk pembangunan dan inisiatif promosi.

Katanya, perjanjian itu akan membawa kerjasama antara DRB-HICOM dan Geely Holding ke peringkat seterusnya.

“Perkembangan terbaru ini adalah susulan daripada pemeteraian Dasar-Dasar Utama Perjanjian (HOA) oleh DRB-HICOM dan Geely Holding awal tahun ini semasa Forum Perniagaan Malaysia-China di Beijing.

“Selain perjanjian kerjasama utama ini, pemeteraian HOA antara Altel Communications Sdn. Bhd. (Altel) dan syarikat pelaburan strategik Geely Hol­ding, Zhejiang Geespace Technology Co. Ltd. (Geespace) turut berlangsung di sini.

“HOA memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelaksanaan sistem teknologi tinggi dan akan mempercepatkan pelaksanaan penyelesaian inovatif bagi sektor-sektor seperti pelabuhan pintar,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pada majlis menandatangani perjanjian tersebut, Altel, iaitu penyedia perkhidmatan telekomunikasi diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Richard Kitts manakala Geespace diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Tony Wang.

Mencerminkan kepentingan strategik AHTV, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Projek AHTV peringkat tertinggi sebelum majlis menandatangani perjanjian tersebut.

Turut sama dalam mesyuarat itu ialah ahli-ahli kanan pasukan Projek AHTV dan pegawai-pegawai kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Menurut DRB-HICOM, AHTV akan menarik pelaburan tempatan dan luar negara yang akan mendorongnya menjadi hab automotif antarabangsa untuk kenderaan tenaga baharu (NEV).

“Tumpuannya bukan sahaja kepada pengeluaran kereta pelbagai jenama, tetapi juga dalam pembuatan komponen dan alat ganti berteknologi tinggi untuk NEV. Ini akan memperluaskan lagi keupayaan vendor tempatan ke arah pengkhususan dalam pembuatan berteknologi tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×