PETALING JAYA: Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil berharap, Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia dapat dibentang dan diluluskan di Parlimen pada tahun depan.
Beliau berkata, Majlis Media akan menjadi proses muda cara yang lebih baik untuk organisasi media atau kawal selia dalaman dalam kalangan pengamal media.
“Saya juga berharap semua pihak memainkan peranan mengingatkan antara satu sama lain bahawa walaupun kita mempunyai kebebasan bersuara ia tidak bermakna kita juga mempunyai `pas’ bebas untuk memfitnah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Malaysia Digital Expo 2023 (MDX2023) di sini, hari ini.
Fahmi berkata, kerajaan menghormati kebebasan bersuara organisasi media dalam melaporkan sebarang berita, namun pada masa sama memberi amaran bahawa ia bukan `pas percuma’ dalam melaporkan berita palsu.
Kata beliau, kebebasan bersuara organisasi media merupakan perkara penting bagi kerajaan, namun pada masa sama menegaskan, laporan berita yang tepat dari segi fakta juga amat penting.
Ujar beliau, pihaknya percaya tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ke atas sebuah portal berita, berlandaskan undang-undang dan agensi berkenaan tidak merujuk segala-galanya kepada beliau sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Saya belum menerima sebarang taklimat daripada SKMM dan saya percaya tindakan yang diambil agensi itu berlandaskan undang-undang malah kadang-kadang mereka bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti polis dan aduan awam.
“Jadi saya akan dengar dahulu taklimat SKMM dan pada masa sama saya juga menghormati pandangan wartawan sama ada veteran mahupun junior,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan sekumpulan wartawan veteran, ketua pengarang berita dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan media yang memandang serius tindakan SKMM ke atas beberapa portal berita.
Media melaporkan portal berita MalaysiaNow yang diarahkan oleh SKMM untuk menurunkan kandungan berita mengenai kekecohan di Dewan Rakyat pada 19 September lalu. – UTUSAN










