Pilih agensi pelancongan berlesen - BUMITRA 

Pilih agensi pelancongan berlesen – BUMITRA 

HARUN KC AHMMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) menasihatkan umat Islam yang hendak mengerjakan ibadah haji, hanya berurusan dengan agensi pelancongan yang diberi lesen oleh Tabung Haji (TH).

Presidennya, Harun KC Ahmmu berkata, ia bagi mengelak bakal jemaah ditipu kerana setiap tahun banyak syarikat yang tidak diberi lesan oleh TH, menawarkan pakej mengendalikan haji.

Beliau berkata, gagal mendapatkan visa, terkandas dan wang tidak dikembalikan, antara masalah dihadapi oleh bakal jemaah yang menggunakan perkhidmatan agensi tidak berlesen.

Justeru katanya, bakal jemaah dinasihatkan menghubungi TH atau melayari laman sesawang TH untuk melihat senarai agensi pelancongan yang diberikan lesen untuk mengelolakan operasi haji.

“Ramai yang membuat laporan kepada pihak berkuasa dan ada juga yang berdiam diri selepas menjadi mangsa. Justeru, amat penting untuk umat Islam mempunyai kesedaran supaya tidak berurusan dengan pihak tidak dilesenkan oleh TH.

“Seksyen 27(1)(a) Akta 535 memperuntukkan bahawa, tiada seorang pun boleh menjalankan atau membuat transaksi perniagaan mengelola perjalanan ke Tanah Suci bagi menunaikan haji melainkan dia memegang Lesen Pengelola Jemaah Haji yang sah dikeluarkan oleh TH menurut Seksyen 28(3) Akta 535,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Harun KC berkata, agensi pelancongan berlesen disyaratkan untuk membayar cagaran bagi pematuhan terma dan syarat yang ditetapkan oleh TH.

Mereka juga katanya, tertakluk kepada pelaksanaan obligasi pengelola jemaah haji di bawah Perjanjian dan Terma Lesen Pengelola Jemaah Haji dan peruntukan Akta 535.

“Saya menasihatkan semua pihak yang menerima visa jemputan daripada kerajaan Arab Saudi memilih cara yang selamat untuk mengerjakan haji dengan mengunakan khidmat syarikat yang dilesenkan oleh TH.

“Menerusi cara ini, tidak akan timbul masalah jemaah terkandas dan nama baik negara turut terpelihara. Kerajaan Arab Saudi juga akan lebih menghormati negara kita,” katanya.

Pada Februari lalu, sebanyak tiga daripada 15 syarikat pelancongan yang disenarai Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) melanggar Akta Industri Pelancongan 1992 dikesan terlibat dalam menipu jemaah umrah.

Menurut sumber, hasil semakan mendapati terdapat, beberapa laporan polis dibuat terhadap tiga syarikat pelancongan itu, dan kebanyakannya berkaitan jenayah penipuan seperti gagal menyediakan pakej umrah dan haji selain pakej pelancongan yang dijanjikan alasan-alasan tertentu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN