Kenderaan elektrik, sudah boleh guna tanpa was-was?

Permotoran: Kenderaan elektrik, sudah boleh guna tanpa was-was?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kereta atau kenderaan elektrik atau ELECTRIC VEHICLE (EV) sudah kerap didengar dalam pasaran tempatan. Namun, ura-ura mengatakan ia tidak boleh digunakan secara meluas kerana dikatakan infrastruktur belum lengkap. Ini bermaksud, stesen pengecas dikatakan belum tersedia secara meluas dan masa yang diperlukan untuk mengecas kenderaan elektrik mengambil masa yang terlalu lama.

Begitu juga, dikatakan caj bayaran yang dikenakan tidak sekata dan tidak sama antara syarikat yang menjadi operator stesen pengecas. Satu lagi perkara yang sering dikatakan bahawa stesen pengecas di Pantai Timur juga terlalu sedikit dan kalau ada pun, dikatakan hanya beberapa unit dalam bandar-bandar utama seperti Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Baharu.

Memandangkan jarak antara satu-satu bandar utama Pantai Timur ini sangat jauh, maka tidak efisien untuk menggunakan kenderaan EV ini berdasarkan pada kata-kata ini. Perasaan kerisauan tentang pencapaian jarak selamat (Range Anxiety) untuk kapasiti bateri kenderaan elektrik sudah tentu menjadi sebab utama untuk tidak memilih pembelian kereta-kereta elektrik yang terdapat di pasaran kini.

Untuk memberikan lebih ke­pastian dan informasi yang betul dan tepat, Persatuan Kenderaan Beremisi Sifar (ZEVA) telah me­nganjurkan satu konvoi beberapa jenis EV sepenuhnya dengan beberapa wartawan permotoran tempatan. Program itu turut dijayakan syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri ini se­perti TNB, GENTARI, HYUNDAI, PEKEMA, EON, GO AUTO dan YINSON GREENTECH.

PERJALANAN KONVOI
Para pengamal media automotif memandu kereta EV pelbagai jenama hampir sejauh 830 kilometer (km) dan konvoi ini membuktikan gambaran sebenar jarak yang mampu dicapai oleh sesebuah kenderaan EV dan juga keberadaan stesen-stesen pengecas sepanjang perjalanan yang bakal kami lalui.

Dari pejabat TNB di Bangsar, kami memandu kereta Hyundai Ioniq 5, iaitu sebuah EV yang bukannya terkini, dilancarkan pada 2022. Malah, Ioniq ini menggunakan roda 20 inci dan laluan melalui Karak dan Genting Sempah menjanjikan perjalanan turun naik bukit. Begitu pun, artikel ini bukan untuk mengetengahkan hasil pandu uji EV ini tetapi lebih kepada keadaan penggunaan yang boleh dikatakan perlu dilalui oleh semua pemilik EV apabila melalui laluan ke Pantai Timur.

Konsep pengecasan untuk ‘top up’ sahaja bukan untuk pengisian penuh. – UTUSAN/ANUAR NORICK

BANGSAR – PETRONAS GAMBANG
Stesen pertama yang perlu kami berhenti adalah di stesen minyak Petronas Gambang. Walau bagaimana pun, ini bukanlah kerana kami perlu mengecas kereta tetapi untuk diberikan penerangan tentang stesen pengecas aliran terus yang dimiliki oleh Gentari Sdn. Bhd., anak syarikat milik Petronas. Ketika ini, jarak perjalanan kami hanyalah pada kira-kira 200 km. Ini bermakna dalam lingkungan 200 km sudah ada satu stesen pengecas untuk kereta EV.

Penerangan yang diberikan oleh wakil Gentari sewaktu pemberhentian pertama konvoi ini, menerangkan tentang sistem bayaran pengecasan boleh dibuat dengan penggunaan SETEL, iaitu platform pembayaran yang sudah kerap digunakan di stesen-stesen minyak Pe­tronas seluruh negara. Namun begitu, kami diberitahu bahawa pengecas EV yang berkapasiti 90kWh setiap satu (terdapat 2 pengecas setiap me­sin) dan dicaj pada kadar RM2.20 seminit. Kos ini diperakui agak sedikit mahal daripada kos mengecas di stesen yang terdapat di pusat bandar. Ini kerana, Gentari ingin membuat para pemilik EV mengecas di stesen-stesen pertengahan perjalanan, hanya sebagai penambahan kuasa yang ada dan bukannya mengecas sehingga penuh yang mana mengambil masa lebih sejam. Ini mengurangkan kadar waktu menunggu untuk para pemilik EV lain. Gentari juga memaklumkan, pihak mereka sedang giat menambah stesen pengecasan dan menyasarkan sehingga 400 stesen menjelang akhir tahun ini (sehingga artikel ini ditulis, Gentari telah pun mempunyai lebih 300 stesen yang sudah siap beroperasi).

PETRONAS GAMBANG – R&R PAKA
Dari stesen Petronas Gambang, kami meneruskan perjalanan ke Hentian Rehat dan Rawat Paka. Seolah-olah seperti dirancang, perjalanan kami kali ini menempuh hujan yang agak lebat, walau memandu dalam keadaan lebuh raya yang rata dan tidak lagi berbukit-bukau seperti sebelum ini.

Kami juga diberitahu bahawa pemanduan EV dalam hujan mengakibatkan peningkatan ke­gunaan kuasa bateri sebanyak 3 hingga 5 peratus. Walaupun kami bertukar-tukar pemandu untuk kereta yang diberikan, kami berdua sepakat untuk memandu seboleh-bolehnya ibarat memandu kereta yang menggunakan petrol, iaitu pada kelajuan kebiasaan 100 hingga 120/kmj pada puratanya. Ketika tiba di R&R Paka, tahap bateri ken­deraan EV kami berada pada baki 15 peratus.

Di R&R Paka ini, stesen pengecasnya disediakan oleh TNB Electron, yang menggunakan sistem operasi dari Go To-U untuk pembayaran pengecasan. Untuk pengetahuan umum, stesen ini adalah stesen yang terakhir di Lebuhraya Pantai Timur bagi pengguna EV menghala ke Kelantan. Juga turut menggunakan pengecasan 180kW, akan tetapi hanya terdapat pada R&R arah Timur dan di R&R arah Barat (menghala Kuantan/KL), TNB menyasarkan akan memulakan operasi pengecasan pada suku kedua 2024. Ini bermakna, para pengguna EV dari Kelantan atau Terengganu harus keluar dari lebuh raya dan masuk ke arah Kuantan untuk mengecas sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Lokasi stesen pengecas TNB di Semenanjung.

R&R PAKA – TELUK CEMPEDAK, KUANTAN
Kami meneruskan perjalanan ke Teluk Cempedak, Kuantan dengan menukar kenderaan EV lain iaitu BYD Atto 3, yang lebih merupakan sebuah SUV. Memandangkan jarak dari R&R Paka ke Teluk Cempedak, Kuantan, sepatutnya sekitar 144 km sahaja, namun kami dibawa ke Kuala Dungun untuk sesi fotografi kenderaan EV yang kami pandu. Setelah sekitar satu jam sesi fotografi, kami meneruskan perjalanan ke Kuantan dengan sedikit “tersasar” akibat kekeliruan ketua konvoi kami.

Kami tiba di Bandar Indera Mahkota, Kuantan untuk pe­nerangan terakhir di stesen pengecasan yang diusahakan oleh Yinson Greentech dan seterusnya ke hotel penginapan. Penunjuk bateri BYD menunjuk baki kuasa bateri dalam kapasiti 25 peratus, memastikan ke­upayaan kereta EV ini mencapai destinasinya.

Esoknya perjalanan balik ke Bangsar dari Teluk Cempedak dengan menggunakan Hyudai Ioniq 6 yang baharu, menyaksikan kami meneruskan perjalanan tanpa henti, dengan kelajuan purata dalam 120/kmj. Setibanya kami di Bangsar, kadar bateri menunjukkan baki 15 peratus atas pemanduan dalam keadaan trafik yang kami lalui.

KESIMPULAN
Ternyata, untuk pemanduan kereta EV dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur, sama ada Kuantan, Kuala Terengganu atau Kota Baharu, sudah boleh dicapai dengan minimum satu pemberhentian untuk pengecasan bateri EV anda. Ini ibarat anda berhenti untuk sekali pengisian penuh semula tangki petrol pada kadar pemanduan yang kami buat.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN