KUALA LUMPUR: Widuri Capital Advisors Sdn. Bhd. (WDCap) menyatukan syarikat awam tersenarai (PLC) dengan Koperasi bagi memacu aktiviti ekonomi melalui peluang pelaburan strategik dan perniagaan.
Pengerusi WDCap, Shahril Anwar Mohd. Yunos berkata, gabungan koperasi penggerak besar dan pasaran modal bersama dapat meningkatkan ekonomi Malaysia secara keseluruhan yang mewujudkan peluang perniagaan.
“Peluang ini akan membawa Koperasi ke arah pengalaman pelaburan yang unik di mana boleh bergabung dan menjadi “main vehicle” untuk memperkembangkan perniagaan yang diceburi oleh sesebuah PLC tersebut.
“Langkah ini memerlukan kebijaksanaan bertindak secara strategik, keberanian dan keupayaan bersaing dalam arena perniagaan yang dinamik,” katanya ketika Majlis Makan Malam Korporat di sini malam tadi.
Di samping itu, Shahril Anwar berkata, WDCap memperkenalkan konsep ‘Strategic Investment Management’ (SIM) yang mengintegrasikan pelaburan saham PLC secara strategik dan bersasar ke arah pemilikan pegangan majoriti.
“SIM dapat membuka ruang untuk pihak Koperasi dan PLC mewujudkan jalinan kerjasama perniagaan strategik di antara mereka.
Sementara itu, Pengarah Urusan WDCap, Badaruddin Kadin berkata, penyatuan itu merupakan satu peluang perniagaan yang dapat diwujudkan antara PLC dan Koperasi.
“Setakat ini sudah ada empat yang telah bersetuju, namun saya tidak dapat mendedahkannya sekarang,” katanya.
Tambah Badaruddin, WDCap menyasarkan sekurang-kurangnya 50 koperasi terlibat bermula tahun hadapan bergantung perbincangan yang akan dilakukan selepas ini. – UTUSAN











