SMCD rancang buka pusat kanser, terapi proton pertama di Malaysia - Utusan Malaysia

SMCD rancang buka pusat kanser, terapi proton pertama di Malaysia

AMIRUDIN Shari (tengah) bersama Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah (dua dari kiri) menyempurnakan Majlis Pelancaran Rasmi Pusat Perubatan Sunway Damansara (SMCD) di Petaling Jaya. Turut hadir, Lau Beng Long (kiri), Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sunway, Datin Paduka Sarena Cheah (dua dari kanan) dan Jasmine Lau (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pusat Perubatan Sunway Damansara (SMCD) merancang fasa pengembangan seterusnya di atas tanah seluas 1.62 hektar bagi menempatkan pusat kediaman warga emas Sunway Sanctuary serta sebuah Pusat Kanser dan Perubatan Nuklear, yang bakal menampilkan Pusat Terapi Pancaran Proton pertama di Malaysia.

Langkah berkenaan diumumkan bersempena majlis pelancaran rasmi hospital tertiari keempat di bawah Sunway Healthcare Group (SHG) itu, susulan permulaan operasinya pada Disember 2024.

Presiden SHG, Datuk Lau Beng Long berkata, pusat kanser yang dicadangkan itu bakal dilengkapi perkhidmatan diagnostik dan rawatan canggih termasuk cyclotrons, tomografi pancaran positron-tomografi berkomputer (PET-CT), pemecut linear serta simulator tomografi berkomputer.

Memuatkan artikel berkaitan…

“SMCD menghimpunkan rangkaian kepakaran dan subkepakaran komprehensif yang disokong oleh teknologi perubatan diagnostik serta terapeutik canggih, termasuk penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi bantuan robotik.

“Perancangan pengembangan ini mencerminkan visi jangka panjang kami untuk membangunkan SMCD sebagai destinasi penjagaan kesihatan yang lebih komprehensif, sekali gus menyediakan akses kepada rawatan pakar dan berteknologi tinggi untuk rakyat Malaysia serta pesakit antarabangsa,” katanya dalam kenyataan. 

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin berkata, penubuhan hospital swasta seperti SMCD menyokong pelan pembangunan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dalam usaha membangunkan sebuah negeri yang prihatin, berdaya huni, mampan dan berdaya tahan.

“Keperluan penjagaan kesihatan penduduk semakin kompleks berikutan populasi yang semakin menua, peningkatan kes penyakit tidak berjangkit serta permintaan tinggi terhadap rawatan pakar. 

“Justeru, Kerajaan Negeri mengalu-alukan pelaburan yang mampu meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan serta memperluas akses kepada perkhidmatan berkualiti,” katanya.

Bagi mengukuhkan kedudukannya dalam sektor pelancongan perubatan yang kian berkembang, SMCD turut menyediakan Pusat Pesakit Antarabangsa khas yang menawarkan khidmat jururawat dan penterjemah bagi memudah cara urusan pesakit luar negara dan ekspatriat di Lembah Klang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMCD, Jasmine Lau Mooi Hun berkata, kejayaan itu mencerminkan prestasi operasi serta keupayaan klinikal hospital yang kukuh.

“Dalam tempoh yang singkat, SMCD berkembang pesat dari segi skop perkhidmatan dan kepercayaan yang diberikan oleh pesakit. 

“Dalam fasa seterusnya, kami kekal komited untuk memperkukuh keupayaan, meningkatkan pengalaman pesakit dan memperluas akses kepada penjagaan kesihatan pakar,” katanya. 

Bagi meningkatkan akses kemudahan, SMCD kini dihubungkan dengan laluan tanjakan baharu dari Persiaran Surian ke Jalan PJU 5/1, serta jambatan pejalan kaki ke Sunway Nexis yang memberikan akses terus ke stesen MRT Surian.

Ekosistem perkhidmatan SMCD turut bakal diperkukuh dengan pembukaan Pusat Perubatan Tradisional Cina Sunway yang dirancang pada suku pertama 2027. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×