PETALING JAYA: Peruntukan RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam Belanjawan 2027 mampu menyokong usaha membangunkan tenaga kerja berkemahiran.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd., Nehchal Khanna berkata, pembangunan bakat dan kemahiran penting kepada syarikat itu memandangkan rakyat Malaysia merangkumi lebih 90 peratus daripada keseluruhan tenaga kerjanya.
Beliau berkata, komitmen QSR Brands terhadap pembangunan modal insan dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif termasuk Program Biasiswa KFC untuk pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dan Program Latihan dan Penempatan Akademi Dalam Industri (ADI) di bawah Kementerian Sumber Manusia.
“Kami mengalu-alukan peningkatan peruntukan kepada RM16 bilion bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta pelepasan cukai pendapatan individu bersasar untuk golongan berpendapatan sederhana.
“Dengan mengekalkan kuasa beli isi rumah, inisiatif ini menyediakan kestabilan ekonomi yang penting.
“Langkah ini melengkapi usaha berterusan QSR Brands untuk menyediakan hidangan mampu milik dan mudah diakses, seperti Menu Rahmah KFC di bawah inisiatif Payung Rahmah kerajaan, bagi memastikan kami terus memenuhi keperluan pengguna yang sentiasa berubah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya menyokong penekanan kerajaan terhadap peningkatan pendapatan dan usaha meningkatkan produktiviti.
“Bagi perniagaan seperti kami, pertumbuhan gaji yang mampan perlu seiring dengan kecekapan operasi.
“QSR Brands sedang mempercepat pelaburan dalam data dan penyelesaian digital bagi memperkemas operasi serta menyediakan interaksi pelanggan yang lebih diperibadikan. Usaha ini penting dalam transformasi kami untuk menjadi syarikat teknologi makanan terkemuka di ASEAN,” ujatnya. – UTUSAN











