PENGALAMAN Jepun berdepan realiti masyarakat tua memberi kelebihan strategik buat Malaysia untuk merancang persediaan awal dan mengelakkan krisis sosial serta ekonomi dalam tempoh beberapa dekad akan datang.
Meskipun kadar penuaan Malaysia kini berada pada paras lapan peratus iaitu setara dengan kadar penuaan Jepun pada tahun 1975, kelebihan ‘jarak masa’ 50 tahun tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebelum Malaysia mencapai status negara tua.
Profesor dari Pusat Penyelidikan Penuaan Pintar Universiti Tohoku, Jepun, Hiroyuki Murata berkata, Malaysia berada pada kedudukan unik kerana masih mempunyai masa dan peluang untuk mereka bentuk ekosistem penuaan yang lebih baik.
“Masyarakat tua sebenarnya adalah ‘masyarakat wanita’ kerana kadar jangka hayat wanita lebih panjang berbanding lelaki.
“Namun, cabaran utama yang perlu ditangani bukanlah sekadar angka penuaan, sebaliknya peningkatan bilangan warga tua yang memerlukan penjagaan jangka panjang dan penjagaan kesihatan mental,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai cabaran utama negara tua, beliau menggariskan beberapa panduan dan strategi kritikal yang boleh dijadikan pengajaran buat Malaysia:
Kawal tiga punca utama kebergantungan fizikal
Langkah paling utama dalam mendepani masyarakat tua dari sudut kesihatan dan ekonomi adalah memastikan warga emas kekal berdikari secara fizikal semaksimum mungkin.
Menurut beliau, tiga punca utama yang menyebabkan warga tua hilang keupayaan fizikal dan memerlukan penjagaan jangka panjang adalah angin ahmar, nyanyuk serta sindrom lokomotif seperti patah tulang akibat jatuh dan masalah sendi.
Bagi mengurangkan risiko berkenaan, amalan senaman aerobik seperti berjalan kaki atau berjoging perlahan perlu digabungkan dengan latihan kekuatan otot, terutamanya pada bahagian kaki dan badan.
Utamakan latihan kekuatan otot warga emas
Ramai dalam kalangan warga tua tidak menyedari bahawa jisim otot kaki boleh merosot sehingga 28.5 peratus menjelang usia 80-an berbanding ketika berusia 20-an, meskipun berat badan kekal sama.
Bagi mengatasi isu ini, pusat latihan komuniti berfokus seperti gimnasium khas wanita berasaskan senaman berjadual 30 minit yang terbukti berkesan mengekalkan kekuatan fizikal warga emas tanpa perlu bergantung kepada peralatan gimnasium moden yang rumit.
Pendekatan senaman yang konsisten dan mesra komuniti dapat memulihkan keupayaan fizikal warga tua daripada paras memerlukan penjagaan kepada berdikari semula.
Aktifkan fungsi otak menerusi amalan membaca dan menulis
Mengenai isu nyanyuk, beliau berkata, dari sudut sains otak, penyakit tersebut merupakan keadaan di mana bahagian prefrontal cortex tidak aktif.
Kajian Universiti Tohoku membuktikan bahawa aktiviti ringkas seperti membaca dengan kuat, menulis menggunakan tangan dan menyelesaikan pengiraan matematik mudah secara pantas berupaya mengaktifkan semula bahagian otak berkenaan.
Penggunaan peranti digital seperti telefon pintar atau tablet adalah baik, namun aktiviti menulis menggunakan tangan secara fizikal memberi rangsangan yang jauh lebih tinggi kepada fungsi kognitif otak.
Galakkan pembelajaran sepanjang hayat
Latihan minda dan program pembelajaran tidak sepatutnya terhenti apabila seseorang memasuki usia persaraan.
Menerusi pelaksanaan terapi pembelajaran dan penglibatan warga emas dalam kolej rentas generasi, fungsi kognitif dan kesihatan mental warga tua menunjukkan peningkatan positif, sekali gus menjadikan mereka lebih optimis serta berdikari.
Pembelajaran berterusan merupakan kaedah yang paling berkesan, selamat dan menyeronokkan untuk mencegah kemerosotan fungsi otak serta mengurangkan beban kos penjagaan kesihatan negara.
Rancang ketersediaan tenaga kerja dan kos penjagaan
Pengalaman Jepun menunjukkan bahawa pertambahan populasi warga tua yang drastik diiringi kemerosotan jumlah tenaga kerja sektor penjagaan akibat jurang gaji dan beban kerja yang berat.
Selain itu, kadar inflasi yang berterusan menyebabkan kos hidup dan kos kediaman penjagaan swasta meningkat mendadak, sekali gus memberi tekanan kewangan kepada warga emas yang hanya bergantung kepada wang pencen.
Oleh itu, persediaan awal dari segi tabungan persaraan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan penyediaan ekosistem penjagaan berasaskan komuniti amat penting untuk dilaksanakan oleh Malaysia dari sekarang. – UTUSAN











