PETALING JAYA: Malayan Banking Berhad (Maybank) melengkapkan cadangan pengambilalihan baki kepentingan 30.95 peratus dalam Maybank Ageas Holdings Berhad selepas menandatangani perjanjian pembelian saham (SPA) bersama Ageas Insurance International NV (Ageas).
Pengambilalihan itu disempurnakan menyusuli kelulusan kawal selia yang diterima daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membolehkan MAHB kini beroperasi sebagai anak syarikat milik penuh Maybank.
Maybank Ageas merupakan syarikat pegangan bagi perniagaan Etiqa di Malaysia dan Singapura yang menyediakan rangkaian lengkap produk insurans hayat dan am konvensional serta takaful keluarga dan am.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, pencapaian itu merupakan mercu tanda penting bagi Maybank dalam usaha memperkukuh aspirasi Etiqa untuk menjadi peneraju insurans dan takaful nasional serta organisasi bertaraf global di bawah strategi ROAR30.
“Dengan Maybank Ageas kini menjadi anak syarikat milik penuh, kedudukan Etiqa sebagai peneraju insurans dan takaful nasional semakin kukuh, sekali gus memperluas capaian kepada pangkalan pelanggan Maybank.
“Fokus kami adalah untuk memacu nilai kepada pelanggan di seluruh Asia Tenggara melalui tawaran kekayaan serantau, strategi jualan silang serta penyediaan penyelesaian kewangan yang lebih bersepadu,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, pemilikan penuh itu turut mengukuhkan penciptaan nilai jangka panjang yang mampan menerusi pengurusan modal yang lebih berkesan dan cekap di peringkat Kumpulan Maybank.
“Jenama Etiqa kekal sebagai francais insurans dan takaful yang kukuh dan akan terus diletakkan sebagai salah satu jenama utama Maybank.
“Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada Ageas atas kerjasama selama 25 tahun bersama Maybank serta sumbangan mereka dalam membangunkan francais Etiqa,” tambahnya.
Maybank Ageas berada pada kedudukan kukuh untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam sektor insurans dan takaful menerusi pangkalan pelanggan yang besar serta rangkaian pengedaran menyeluruh Kumpulan.
Langkah berkenaan turut membolehkan Maybank dan Maybank Ageas meningkatkan keupayaan bagi memacu inovasi produk, memperluas penembusan insurans perbankan dan memperkukuh tawaran takaful di samping meningkatkan kecekapan operasi. – UTUSAN










