FiT 2027 dijangka jana pelaburan RM3b

FiT 2027 dijangka jana pelaburan RM3b, cipta lebih 5,000 pekerjaan

tenaga
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kuota baharu sebanyak 250 megawatt (MW) di bawah program Tarif Galakan (FiT) bagi 2027 dijangka menjana pelaburan bernilai RM3 bilion serta mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, kuota berkenaan melibatkan tiga sumber tenaga boleh baharu (TBB) iaitu biogas, biojisim dan hidro kecil yang ditawarkan kepada pemaju TBB yang layak di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Daripada jumlah keseluruhan itu, kementerian berkata, sebanyak 30 MW diperuntukkan bagi biogas, 120 MW untuk biojisim manakala 100 MW lagi bagi hidro kecil.

Menurut PETRA, permohonan kuota berkenaan boleh dibuat menerusi proses e-bidaan di laman web Sustainable Energy Development Authority Malaysia (SEDA Malaysia) bermula 3 Februari hingga 24 Mac 2027.

“Kerajaan menjangkakan kuota FiT baharu ini mampu menjana pelaburan sebanyak RM3 bilion, termasuk RM510 juta bagi pembelian enjin gas dan dandang yang dipasang secara tempatan,” katanya dalam kenyataan.

PETRA berkata, pelaksanaan inisiatif itu turut menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan bahagian TBB dalam bekalan elektrik negara kepada 70 peratus menjelang 2050.

“Projek TBB yang diluluskan dijangka mula menjana dan membekalkan tenaga elektrik hijau seawal 2030,” katanya.

Sementara itu, PETRA memaklumkan sejak program FiT diperkenalkan pada 2011, sebanyak 1,660.50 MW kuota telah diluluskan bagi semua sumber tenaga boleh baharu, membabitkan 9,658 projek di seluruh negara.

Pelaksanaan kuota baharu itu dijangka terus merancakkan pelaburan dalam sektor tenaga boleh baharu selain membuka peluang kepada industri tempatan untuk meningkatkan penglibatan dalam rantaian bekalan teknologi hijau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×