Coalfields Retail Park dibuka dengan kadar penyewaan 90%

Coalfields Retail Park dibuka dengan kadar penyewaan 90%

COALFIELDS Retail Park dibangunkan di kawasan seluas 8.5 hektar dengan keluasan binaan kasar kira-kira satu juta kaki persegi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLK Land Sdn Bhd (KLK Land), entiti pembangunan hartanah Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) membuka secara rasmi Coalfields Retail Park di Bandar Seri Coalfields, Selangor, dengan kadar penyewaan sebanyak 90 peratus.

Pembangunan runcit pertama KLK Land itu dibangunkan bagi memenuhi keperluan penduduk Bandar Seri Coalfields serta komuniti di kawasan Utara Lembah Klang, selain menjadi hab komersial dan komuniti baharu di kawasan berkenaan.

Coalfields Retail Park dibangunkan di kawasan seluas 8.5 hektar dengan keluasan binaan kasar kira-kira satu juta kaki persegi, merangkumi ruang dalaman dan luaran setinggi 2.5 tingkat serta menampilkan lebih 100 jenama.

Destinasi berkenaan dijangka menarik kira-kira lima juta pengunjung setahun, dengan penyewa merangkumi pelbagai segmen makanan dan minuman, hiburan, rekreasi, peruncitan serta keperluan harian.

Pengarah Urusan KLK Land, Lee Wen Ling berkata, pembukaan Coalfields Retail Park merupakan pencapaian penting bagi syarikat selain mencerminkan perkembangan berterusan Bandar Seri Coalfields.

“Coalfields Retail Park dirancang dengan teliti untuk me­ningkatkan nilai kawasan sekitar serta melengkapi keperluan komuniti sedia ada.

“Seiring dengan perkembangan Bandar Seri Coalfields sebagai sebuah perbandaran yang semakin maju, kami menyedari bahawa selain kediaman, masyarakat turut memerlukan ruang untuk berkumpul, bersantai, meraikan detik-detik istimewa dan menjalani kehidupan seharian bersama,” katanya dalam kenyataan.

Coalfields Retail Park merupakan sebahagian daripada pembangunan perbandaran terancang Bandar Seri Coalfields seluas 404.7 hektar, yang mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM5.5 bilion.

Pembangunan itu pula merupakan sebahagian daripada pelan induk pembangunan KLK Land yang merangkumi kawasan seluas 2428 hektar.

Bagi menyokong pertambahan jumlah pengunjung dan pembangunan masa depan, KLK Land turut melabur dalam penambahbaikan infrastruktur, termasuk pelebaran jalan akses secara berperingkat di sepanjang Jalan Persekutuan FT54 serta penambahbaikan kemudahan dan akses pejalan kaki di seluruh kawasan perbandaran.

Coalfields Retail Park turut dihubungkan secara langsung dengan taman tasik seluas 2.8 hektar dan menerima Pensijilan GreenRE Gold (Provisional) di bawah kategori Bangunan Bukan Kediaman.

Antara tarikan utama pusat berkenaan ialah taman permainan kanak-kanak dalaman Harborland, Blue Ice-Skating Rink, gedung konsep Skechers terbesar di Asia Tenggara serta CIRCADIAN, hab kesejahteraan oleh Kenny Hills Group yang menawarkan kemudahan pickleball, latihan Hyrox dan pilates.

Bagi segmen makanan dan minuman pula, antara penyewa yang ditampilkan ialah Serai Ikan Bakar, McDonald’s, Hock Kee Kopitiam, Lisette’s Bakery & Café, ParaThai, Andra by Gula Cakery, La Pane Pizza, Fish & Co. dan Lavender Bakery.

Tambahnya, Village Grocer pula menjadi penyewa utama bagi segmen barangan runcit, manakala penyewa lain termasuk Maybank, Decathlon, KKV, Harvey Norman, Anytime Fitness, Toys”R”Us, MR DIY, Machines, Samsung dan KLK Land Property Showcase.

Menurut Wen Ling, pembukaan Coalfields Retail Park merupakan permulaan kepada usaha syarikat menjadikannya sebahagian daripada kehidupan harian komuniti setempat.

“Visi kami adalah untuk menjadikannya sebahagian penting daripada kehidupan seharian komuniti, dengan menyatukan orang ramai serta mewujudkan detik-detik yang istimewa dan bermakna, kerana ‘Joy Happens Here’,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×