Butterfield FB muncul di Pasaran ACE pada 43 sen sesaham

Butterfield FB muncul di Pasaran ACE pada 43 sen sesaham

LEE Mong Khai (lima dari kanan) bersama barisan lembaga pengarah Butterfield FB Berhad semasa melakukan gimik mengetuk gong sempena majlis penyenaraian syarikat itu di Pasaran Ace di Bursa Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Butterfield FB Berhad memulakan dagangan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 43 sen sesaham semalam, lebih rendah berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 48 sen dengan jumlah dagangan sebanyak 5.267 juta saham. 

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BFB, Lee Mong Khai berkata, penyenaraian itu membolehkan syarikat mempercepatkan perancangan masa depannya bagi memenuhi jangkaan pertumbuhan permintaan.

“Pengembangan kemudahan kami di Bukit Minyak akan menempatkan barisan pengeluaran keempat, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan daripada 8,502 tan metrik ketika ini kepada 12,597 tan metrik dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Malaysia dan Thailand yang merupakan dua pasaran teras kami adalah pasaran minuman yang besar dan menawarkan potensi yang ketara. 

“Campuran serbuk matcha merupakan bidang tumpuan kami seterusnya, disokong oleh barisan pengeluaran khusus yang mula beroperasi sejak Februari,” katanya dalam kenyataan 

BFB mengumpul sejumlah RM72 juta menerusi IPO itu dengan RM15.2 juta (21.1 peratus) akan digunakan untuk memperluaskan ibu pejabatnya di Bukit Minyak, Pulau Pinang.

Sebanyak RM37.8 juta (52.5 peratus) lagi diperuntukkan sebagai modal kerja, manakala RM13 juta (18.1 peratus) akan digunakan untuk pelaburan strategik, penggabungan dan/atau pengambilalihan dalam syarikat dan/atau pengilang yang memiliki jenama kopi segera dan pra campur teh.

Selain itu, baki RM6 juta pula akan digunakan untuk menampung anggaran perbelanjaan penyenaraian.

Dari segi kewangan, hasil BFB meningkat ketara daripada RM97.9 juta pada tahun kewangan berakhir 30 April 2023 kepada RM272.1 juta pada tempoh sama tahun ini.

Keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat pula meningkat daripada RM8.7 juta kepada RM30.4 juta dalam tempoh sama.

Pertumbuhan itu didorong oleh permintaan lebih tinggi terhadap campuran serbuk ekstrak kopi dan teh, yang kekal sebagai perniagaan teras kumpulan.

Bagi suku pertama berakhir 31 Julai 2026, BFB merekodkan hasil sebanyak RM69.7 juta dan keuntungan bersih RM6.5 juta.

Malaysia kekal sebagai penyumbang utama dengan 57.6 peratus daripada hasil, diikuti Thailand sebanyak 30.7 peratus, manakala baki 11.7 peratus disumbangkan oleh Taiwan, Indonesia dan China.

Beliau berkata, melangkah ke hadapan, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk memberi tumpuan kepada peningkatan kapasiti pengeluaran, mempertingkat kecekapan operasi dan mengekalkan fleksibiliti kewangan.

“Langkah ini akan membolehkan kumpulan memanfaatkan peluang pasaran semasa dan akan datang, di samping memberikan nilai jangka panjang kepada pelabur,” katanya.

M & A Securities Sdn. Bhd. bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen peletakan bagi pelaksanaan IPO itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×