PETALING JAYA: Hong Leong Investment Bank (HLIB) menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 kepada 4.7 peratus berbanding 4.5 peratus sebelum ini, didorong oleh prestasi lebih kukuh sektor elektrik dan elektronik (E&E).
Ketua Ekonomi HLIB, Felicia Ling berkata, pertumbuhan ekonomi negara dijangka berkembang lebih sederhana pada separuh kedua 2026 berikutan kesan asas yang lebih tinggi, namun kekal disokong oleh pengembangan ekonomi yang menyeluruh merentasi sektor utama.
Menurut beliau, sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, manakala sektor perlombongan kekal sebagai faktor yang mengekang prestasi ekonomi.
“Pengembangan ekonomi Malaysia kekal menyeluruh dengan sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan menjadi pemacu utama pertumbuhan, manakala sektor perlombongan terus memberi tekanan kepada pertumbuhan ekonomi.
“Bagi sektor pembuatan, pertumbuhan akan disokong terutamanya oleh industri E&E, manakala sektor perkhidmatan dipacu oleh perbelanjaan penggunaan yang stabil serta aktiviti pelancongan yang berterusan.
“Sektor pembinaan pula mendapat manfaat daripada projek infrastruktur yang sedang berjalan serta peningkatan pelaburan berkaitan pusat data (DC),” katanya semasa Taklimat Tinjauan Ekonomi Malaysia Separuh Kedua 2026 secara maya di sini.
Beliau berkata, HLIB turut mengekalkan unjuran inflasi pada 2.0 peratus bagi 2026, meskipun tekanan harga dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini.
“Setakat separuh pertama 2026, kadar inflasi mencatat purata 1.7 peratus.
“Bagi separuh kedua tahun ini, kami menjangkakan tekanan inflasi meningkat, namun kadar inflasi tahunan masih dijangka kekal pada 2.0 peratus, iaitu dalam julat unjuran rasmi antara 1.5 hingga 2.5 peratus,” katanya.
Beliau berkata, walaupun firma itu menjangkakan pertumbuhan ekonomi lebih kukuh berbanding unjuran awal dan tekanan inflasi sedikit meningkat, kedua-duanya masih berada dalam julat unjuran rasmi.
Mengulas mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), Felicia berkata, HLIB menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar itu pada 2.75 peratus sepanjang tahun ini.
“Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) baru sahaja berlangsung minggu lalu dan berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan, pendirian BNM dilihat sangat neutral.
“Tiada petunjuk mengenai sebarang perubahan segera terhadap OPR pada masa akan datang.
“Masih terdapat dua lagi mesyuarat MPC tahun ini, masing-masing pada September dan November, namun kami tidak menjangkakan sebarang perubahan dalam beberapa mesyuarat akan datang,” ujarnya.
Bagaimanapun, terdapat kemungkinan OPR dinormalisasikan semula kepada 3.0 peratus pada 2027 sekiranya pertumbuhan KDNK Malaysia meningkat sekitar 5.0 peratus dan kadar inflasi terus meningkat. – UTUSAN










