OSK Property memperkenalkan TAMU @ OSK Mori Park, sebuah pembangunan yang mengangkat inspirasi kehidupan Mediterranean ke Seksyen 13, Shah Alam yang dijadualkan siap pada separuh kedua 2030.
Sebagai fasa ketiga pembangunan berorientasikan transit (TOD) OSK Mori Park, TAMU bukan sekadar menampilkan seni bina yang menarik, malah memperkenalkan sebuah komuniti moden yang menggabungkan kediaman, komersial dan gaya hidup dalam satu destinasi yang saling berhubung.
Dibangunkan di atas tapak seluas 1.55 hektar sebagai sebahagian daripada pelan induk OSK Mori Park seluas 6.18 hektar, projek itu merangkumi 946 unit pangsapuri servis, 175 unit Signature Suites serta 21 lot runcit, termasuk sebuah premis pandu lalu.
Kesemua komponen ini dirancang bagi mewujudkan sebuah komuniti yang membolehkan penghuni hidup, bekerja, membeli-belah dan menikmati pelbagai kemudahan harian dalam satu pembangunan bersepadu.
Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property, Chu Wai Lune, berkata nama TAMU dipilih kerana membawa maksud yang cukup dekat dengan budaya masyarakat Malaysia.
“Perkataan ‘tamu’ melambangkan semangat mengalu-alukan kehadiran orang lain, mengeratkan hubungan kekeluargaan dan membina komuniti yang saling berhubung.
“Pada masa sama, ia turut mencerminkan falsafah reka bentuk kami, Timeless Aesthetic of Mediterranean Urbanity, yang diterjemahkan melalui seni bina, landskap dan pengalaman gaya hidup yang ditawarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, setiap aspek pembangunan dirancang dengan teliti supaya penghuni dapat menikmati pencahayaan semula jadi, pengudaraan yang baik, landskap menghijau serta suasana yang menenangkan, namun kekal praktikal untuk memenuhi keperluan kehidupan bandar masa kini.
“Satu daripada keistimewaan TAMU ialah penawaran lebih daripada 43 kemudahan gaya hidup yang direka bagi menyokong kesejahteraan, rekreasi dan hubungan komuniti.
“Kemudahan yang disediakan bukan sekadar untuk melengkapkan pembangunan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada pengalaman kehidupan harian penghuni.
“Bayangkan memulakan pagi dengan berjalan santai di Skyline Promenade, menikmati ketenangan di Lounger by the Pool, meluangkan masa bersama keluarga di Mediterranean Courtyard atau Poolside BBQ, sebelum mengakhiri hari dengan menikmati suasana petang di The Glass House.
“Turut melengkapkan pengalaman itu ialah The Spanish Steps, Wellness Jacuzzi, kolam renang 50 meter, gelanggang pickleball, gimnasium, studio gimnasium wanita, ruang hiburan dan dewan komuniti yang membolehkan penghuni menikmati gaya hidup aktif tanpa perlu meninggalkan kawasan kediaman,” jelasnya.
Beliau berkata, TAMU menawarkan pangsapuri servis bermula pada harga RM250,000 dengan keluasan antara 550 hingga 958 kaki persegi serta pilihan susun atur daripada satu tambah satu bilik sehingga empat bilik tidur, termasuk unit dwi kunci.
“Reka bentuk yang praktikal ini memenuhi keperluan pelbagai kumpulan pembeli, termasuk pembeli rumah pertama, golongan profesional muda, keluarga yang sedang berkembang serta keluarga berbilang generasi.
“Selain pangsapuri servis, TAMU turut menawarkan Signature Suites berkeluasan antara 550 hingga 926 kaki persegi, menawarkan fleksibiliti untuk kegunaan kediaman mahupun perniagaan.
“Dilengkapi dengan lobi komersial khas dan kemudahan parkir berhadapan pintu bagi unit terpilih, ia memberikan kemudahan yang lazimnya hanya dinikmati oleh kediaman bertanah,” jelasnya.
Pelancaran TAMU meneruskan momentum positif OSK Mori Park selepas kejayaan dua fasa terdahulu iaitu ALIA yang dilancarkan pada Julai 2024, kini mencapai 98 peratus jualan dan BAYU (Mei 2025), mencatatkan 75 peratus kadar pengambilan.
Wai Lune berkata, TAMU merupakan satu lagi langkah penting dalam merealisasikan visi pembangunan komuniti moden yang memenuhi keperluan kehidupan masa kini.
“Dengan susun atur yang praktikal, harga permulaan yang mampu dimiliki serta ruang fleksibel yang menyokong keperluan kediaman dan perniagaan, TAMU direka untuk memenuhi aspirasi golongan profesional muda, keluarga yang sedang berkembang, usahawan serta pelabur.
“Kedudukan strategik TAMU di Seksyen 13, Shah Alam menjadi antara faktor utama yang menambah nilai kepada pembangunan ini.
“Terletak kira-kira 700 meter berjalan kaki dari Stesen LRT3 Stadium Shah Alam, projek ini turut menikmati akses terus ke Jalan Subang serta rangkaian lebuh raya utama seperti Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Utara–Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Kemuning–Shah Alam (LKSA),” katanya.
Kemudahan sedia ada seperti Pusat Perubatan MSU, AEON Mall Shah Alam, Management & Science University (MSU) serta pelbagai kemudahan komersial di sekitarnya terus mengukuhkan daya tarikan kawasan ini sebagai lokasi kediaman yang matang.
Pembukaan laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), pembangunan semula Presint Kompleks Sukan Shah Alam serta penaiktarafan infrastruktur dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan Seksyen 13, sekali gus meningkatkan potensi nilai hartanah di kawasan tersebut. – UTUSAN










