PETALING JAYA: Stratus Global Holdings Bhd. (Stratus Global) membuat penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad hari ini pada harga RM1.96 sesaham, mewakili premium 145 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 80 sen sesaham.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Stratus Global, Ryo Narisawa berkata, pencapaian itu mencerminkan dedikasi pasukan dan kumpulan kerja IPO syarikat serta keyakinan komuniti pelaburan terhadap keupayaan, model perniagaan dan prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan.
“Dengan hasil yang diperoleh daripada IPO ini, syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran, mengukuhkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan meningkatkan keupayaan kami untuk menyokong pelanggan merentasi pasaran semikonduktor utama.
“Kami kekal komited untuk menyediakan penyelesaian AMHS yang boleh dipercayai sambil terus memperdalam kehadiran kami dalam rantaian nilai automasi semikonduktor,” katanya semasa sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE secara maya.
Kejayaan IPO Stratus Global membolehkan syarikat itu mengumpul RM285 juta menerusi penerbitan 356.25 juta saham baharu.
Hasil IPO itu akan digunakan bagi pengembangan kemudahan pembuatan di Pulau Pinang sebanyak RM122.6 juta, pengembangan perniagaan luar negara (RM20 juta), penyelidikan dan pembangunan (RM45 juta), modal kerja (RM82.4 juta) serta perbelanjaan penyenaraian (RM15 juta).
Beliau berkata, bagi kemudahan baharu yang dirancang, syarikat telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) bagi hartanah yang terletak bersebelahan kampus sedia ada.
“Bangunan sedia ada akan dirobohkan sebelum pembinaan dimulakan pada awal tahun hadapan. Mengikut perancangan, kemudahan baharu itu dijangka siap pada awal 2028.
“Syarikat turut memiliki sebuah lagi hartanah yang dijangka mula digunakan pada Julai tahun depan. Secara keseluruhan, Stratus Global akan menambah antara 170,000 hingga 200,000 kaki persegi ruang operasi baharu berbanding keluasan sedia ada 117,000 kaki persegi.
“Ini sekali gus hampir menggandakan operasi kepada tiga kali ganda.
“Selain itu, syarikat juga sedang membuat persiapan untuk melaksanakan operasi dua syif yang dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran sehingga lima kali ganda,” katanya.
Mengulas mengenai potensi pasaran di Sarawak serta perancangan mengembangkan operasi di Malaysia Timur, beliau berkata, syarikat kini mempunyai seorang pelanggan di negeri itu dan berpotensi memperoleh seorang lagi pelanggan dalam tempoh terdekat.
“Bagi pelanggan sedia ada, kami telah menyambung semula perbincangan berhubung peluasan operasi. Kami memasang sistem berskala besar kira-kira tiga tahun lalu.
“Rundingan untuk mengembangkan operasi bersama pelanggan itu telah dimulakan semula, sekali gus dijangka membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan dari Malaysia Timur,” ujarnya.
Mengenai dasar dividen, beliau berkata, prospektus syarikat menetapkan sasaran pembayaran dividen sekurang-kurangnya 25 peratus daripada keuntungan selepas cukai (PAT) tahun sebelumnya.
“Bagaimanapun, sebelum penyenaraian IPO, kami telah mengagihkan lebih 35 peratus daripada keuntungan selepas cukai pada tahun lalu.
“Saya menjangkakan kadar pembayaran dividen akan kekal melebihi 30 peratus. Walaupun saya tidak boleh memberi jaminan rasmi, itulah sasaran kami,” katanya. – UTUSAN










