PETALING JAYA: Ringgit susut sederhana sebanyak 2.0 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh dua bulan sehingga akhir April, selepas mencatat pengukuhan kira-kira 20 peratus sepanjang dua tahun sebelumnya.
Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) berkata, ringgit telah pulih daripada paras yang sebelum ini dianggap lemah sejak 2024, seperti direkodkan dalam Tinjauan Ekonomi Malaysia OECD terdahulu.
Katanya, pengukuhan itu disokong penyempitan jurang kadar faedah dengan AS serta peningkatan asas ekonomi domestik.
“Pihak berkuasa menegaskan kadar pertukaran akan terus berperanan sebagai penyerap kejutan, disokong usaha berterusan bagi menggalakkan aliran dua hala yang lebih seimbang serta memperdalam pasaran pertukaran asing (forex).
“Portal Pelabur Pasaran Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan jumlah dagangan forex harian dalam pasaran domestik mencecah sekitar AS$20 bilion pada 2025.
“Ini menekankan peranan bank pusat dalam memastikan keadaan pasaran yang teratur dan bukannya menyasarkan paras nilai mata wang tertentu,” katanya dalam laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia OECD 2026.
OECD berkata, pendirian dasar monetari semasa adalah wajar kerana membantu menyokong pertumbuhan ekonomi, selain mengekalkan jangkaan pasaran.
“Bagaimanapun, dengan inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka meningkat kepada purata 2.1 peratus pada 2026, pertimbangan mungkin perlu diberikan untuk membalikkan semula pengurangan kadar faedah yang dibuat tahun lalu.
“Langkah itu perlu sekiranya terdapat tanda-tanda kejutan harga tenaga dan komoditi mula memberi kesan kepada inflasi teras, sekali gus menyebabkan kadar inflasi melebihi unjuran semasa BNM iaitu antara 1.5 hingga 2.5 peratus,” ujarnya.
Menurutnya, gangguan akibat subsidi bahan api terhadap dinamik harga dan gaji berpotensi menjadi saluran tidak langsung yang meningkatkan inflasi teras selepas tempoh tertentu.
“Dalam apa jua keadaan, dasar monetari perlu kekal fleksibel berikutan ketidaktentuan global yang semakin meningkat.
“Sekiranya pertumbuhan ekonomi perlahan lebih daripada jangkaan atau kejutan luaran bertambah buruk, instrumen dasar sedia ada termasuk operasi kecairan dan, jika diperlukan, fleksibiliti nisbah rizab berkanun (SRR) boleh melengkapi kadar dasar semalaman (OPR),” katanya.
OECD berkata, penerusan rejim kadar pertukaran terapung juga dapat mengurangkan keperluan pelarasan kadar faedah besar bagi menangani kejutan import.
“Kejutan harga tenaga global terkini akan menjadi ujian mencabar terhadap daya tahan ekonomi negara.
“Dalam laporan terdahulu (OECD, 2024), OECD menyambut baik kemajuan Malaysia dalam memperkukuh kerangka dasar makroekonomi, namun mengesyorkan penambahbaikan berterusan dalam komunikasi dasar monetari.
“Penerbitan minit mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), walaupun dalam bentuk ringkasan, mampu meningkatkan akauntabiliti, menjelaskan perbezaan pandangan dalam kalangan ahli jawatankuasa serta membantu menambat jangkaan pasaran.
“Langkah itu juga akan menyelaraskan Malaysia dengan amalan negara yang mengamalkan sasaran inflasi serta rejim kadar pertukaran fleksibel, selain melengkapi kenyataan dasar monetari BNM yang sedia terperinci,” jelasnya. – UTUSAN










