PETALING JAYA: Prestasi perdagangan Malaysia terus menunjukkan momentum kukuh pada separuh pertama 2026 apabila mencatat nilai tertinggi bagi tempoh Januari hingga Jun, didorong oleh daya tahan sektor elektrik dan elektronik (E&E) di sebalik ketidaktentuan ekonomi global.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), sepanjang tempoh tersebut, jumlah perdagangan negara meningkat 22.4 peratus tahun ke tahun kepada RM1.796 trilion.
“Eksport berkembang sebanyak 27.5 peratus kepada RM971.59 bilion, manakala import meningkat 16.9 peratus kepada RM824.44 bilion, sekali gus menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM147.15 bilion.
“Prestasi cemerlang itu disokong oleh pengukuhan sektor pembuatan, khususnya industri E&E yang merekodkan peningkatan eksport hampir RM140 bilion.
“Pertumbuhan itu didorong oleh permintaan global yang berterusan, perkembangan teknologi serta peningkatan penggunaan teknologi digital di pasaran utama dunia,” menurut kenyataan.
MITI berkata, selain E&E, beberapa sektor lain turut menyumbang kepada pertumbuhan eksport termasuk keluaran petroleum, barangan optik dan saintifik serta produk perkilangan logam.
Ujarnya, eksport hasil galian seperti bijih logam, serpihan logam dan gas asli cecair (LNG) juga mencatat prestasi positif.
“Dari segi pasaran, permintaan kukuh daripada rakan dagang utama seperti ASEAN, China, Amerika Syarikat, Taiwan dan Kesatuan Eropah terus menyokong pertumbuhan eksport negara.
“Eksport ke negara-negara Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut berkembang, diterajui pasaran Hong Kong SAR, Republik Korea, Mexico, India, Australia, United Kingdom, Jepun, Pakistan, Kanada dan New Zealand,” katanya.
Menurut kementerian, momentum perdagangan negara semakin mengukuh pada Jun 2026 apabila jumlah perdagangan bulanan mencatat rekod baharu sebanyak RM340.89 bilion, meningkat 44.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Eksport melonjak 45.4 peratus kepada RM177.89 bilion, sementara import meningkat 43.9 peratus kepada RM163 bilion.
“Lebihan dagangan sebanyak RM14.89 bilion yang direkodkan pada Jun turut menandakan lebihan dagangan selama 74 bulan berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya.
Prestasi perdagangan yang lebih kukuh turut diterjemahkan dalam peningkatan daya saing Malaysia di peringkat global.
Mengikut IMD World Competitiveness Ranking 2026, Malaysia mencatat lonjakan lapan anak tangga untuk berada di kedudukan ke-15, didorong oleh pengukuhan dalam prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan perniagaan.
Pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan yang berdaya saing di tengah-tengah persekitaran global yang semakin mencabar.
Meskipun risiko masih wujud berikutan ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan berterusan dalam perdagangan global, sektor perdagangan luar Malaysia terus mempamerkan daya tahan yang tinggi.
Berdasarkan prestasi kukuh yang dicatatkan pada separuh pertama 2026, beberapa barangan serta pasaran eksport utama dijangka mencatatkan paras tertinggi baharu secara keseluruhannya bagi tahun ini, disokong oleh prestasi barangan E&E serta permintaan mampan daripada rakan dagang utama.
Melangkah ke hadapan, usaha berterusan untuk memaksimumkan penggunaan FTA, mempelbagaikan destinasi eksport serta meningkatkan eksport berasaskan nilai tambah yang lebih tinggi akan terus menjadi pemacu penting dalam mengekalkan momentum perdagangan dan memperkukuh daya tahan eksport Malaysia. – UTUSAN










