PETALING JAYA: Prestasi perdagangan Malaysia terus mengukuh pada Jun 2026 apabila jumlah dagangan meningkat 44.7 peratus kepada RM340.9 bilion.
Ini didorong pertumbuhan eksport sebanyak 45.4 peratus kepada RM177.9 bilion dan import 43.9 peratus kepada RM163 bilion.
Lebihan dagangan turut meningkat 64.9 peratus kepada RM14.9 bilion.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, eksport Malaysia meningkat pada Jun 2026, disokong oleh pertumbuhan dalam kedua-dua eksport semula dan eksport domestik.
“Eksport semula, yang merangkumi 22.1 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 48.7 peratus tahun ke tahun kepada RM39.3 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, eksport domestik yang menyumbang 77.9 peratus daripada jumlah eksport, berkembang 44.6 peratus kepada RM138.6 bilion.
“Seiring itu, import turut meningkat kepada RM163.0 bilion, mencatatkan kenaikan 43.9 peratus.
“Lebihan dagangan pula melonjak 64.9 peratus kepada RM14.9 bilion, menandakan lebihan dagangan bagi bulan ke-74 berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya.
Berbanding Mei 2026, import dan jumlah dagangan masing-masing meningkat kepada 13.2 peratus dan 4.0 peratus.
Manakala, eksport dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan penurunan 3.2 peratus dan 62.7 peratus.
Dari perspektif kumpulan barangan pula, 162 daripada 258 kumpulan eksport dan 193 daripada 258 kumpulan import mencatatkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
DOSM berkata, peningkatan eksport disokong terutamanya oleh kenaikan penghantaran ke Amerika Syarikat (+RM18.1 bilion), diikuti Singapura (+RM8.1 bilion), China (+RM5.4 bilion), Taiwan (+RM3.1 bilion), Kesatuan Eropah (+RM2.7 bilion), Jepun (+RM2.6 bilion) dan Thailand (+RM2.5 bilion).
“Peningkatan import pula sebahagian besarnya mencerminkan aliran masuk yang lebih tinggi dari China (+RM15.8 bilion), diikuti Singapura (+RM10.0 bilion), Repulik Korea (+RM4.6 bilion), Amerika Syarikat (+RM4.2 bilion), Taiwan (+RM3.5 bilion), India (+RM2.2 bilion) dan Kesatuan Eropah (+RM2.2 bilion).
“Pertumbuhan eksport dipacu oleh peningkatan penghantaran barangan elektrik dan elektronik (+RM30.9 bilion), keluaran perkilangan lain (+RM8.8 bilion), keluaran petroleum (+RM4.7 bilion), gas asli cecair (+RM2.9 bilion), barangan optik dan saintifik (+RM2.2 bilion) serta pembuatan logam (+RM2.1 bilion).
Pada masa yang sama, import mencerminkan aliran masuk yang lebih tinggi bagi barangan elektrik dan elektronik (+RM32.0 bilion), keluaran petroleum (+RM5.6 bilion), keluaran perkilangan lain (+RM2.1 bilion), jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM1.8 bilion), pembuatan besi (+RM1.7 bilion) dan peralatan pengangkutan (+RM1.6 bilion),” katanya.
DOSM berkata, pertambahan import mengikut penggunaan akhir didorong oleh permintaan yang kukuh bagi ketiga-tiga komponen iaitu barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan.
“Import barangan perantaraan (52.4 peratus daripada jumlah import) melonjak 41.3 peratus atau RM24.9 bilion kepada RM85.4 bilion.
“Import barangan modal (14.8 peratus daripada jumlah import) juga meningkat 67.4 peratus atau RM9.7 bilion kepada RM24.2 bilion, manakala import barangan penggunaan (6.8 peratus daripada jumlah import) meningkat 17.2 peratus atau RM1.6 bilion, berjumlah RM11.0 bilion berbanding Jun 2025,” katanya.
Prestasi bagi suku kedua 2026, jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Prestasi ekonomi yang memberangsangkan membawa kepada kenaikan 34.1 peratus dalam jumlah dagangan, sejajar dengan peningkatan dalam eksport (+42.4 peratus) dan import (+25.4 peratus).
Selain itu, lebihan dagangan berjumlah RM84.0 bilion, meningkat 449.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2025.
Jumlah dagangan, eksport dan import bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 mencatatkan peningkatan.
Jumlah dagangan merekodkan pertumbuhan dua digit 22.4 peratus, daripada RM1.5 trilion kepada RM1.8 trilion, selaras dengan peningkatan eksport (+27.5 peratus) serta import (+16.9 peratus).
Selain itu, lebihan dagangan turut berkembang 159.8 peratus kepada RM147.1 bilion. – UTUSAN










