PETALING JAYA: Pelabur mewah dan individu bernilai bersih tinggi (HNWI) di Malaysia kini semakin agresif menyusun semula portfolio pelaburan dengan mengimbangi strategi pertumbuhan dan perlindungan kekayaan, didorong kebimbangan terhadap inflasi serta keperluan membuat persediaan persaraan.
Trend itu selari dengan dapatan HSBC Affluent Investor Snapshot yang menunjukkan golongan berkenaan bukan lagi melihat pelaburan dari sudut risiko tinggi atau rendah, sebaliknya mengutamakan kesediaan mengambil peluang mengikut keadaan pasaran.
Tinjauan yang melibatkan hampir 10,000 individu mewah dan bernilai bersih tinggi di 10 pasaran termasuk Malaysia mendapati pelabur tempatan kini mengamalkan pendekatan lebih berorientasikan masa hadapan dalam pengurusan kekayaan.
Sebanyak 43 peratus responden meletakkan matlamat membina kekayaan tambahan bagi mengekang kesan inflasi, diikuti usaha memelihara serta melindungi kekayaan (42 peratus) dan persediaan persaraan (42 peratus).
Bagi merealisasikan matlamat itu, pelabur di Malaysia turut menunjukkan kecenderungan lebih tinggi untuk mengurangkan pegangan tunai dan mengalihkannya kepada aset yang berpotensi menjana pulangan lebih baik.
Seramai 16 peratus responden merancang mengurangkan peruntukan tunai dalam tempoh 12 bulan akan datang, lebih tinggi daripada purata global sebanyak 12 peratus, selain mengatasi Taiwan (9 peratus) dan Singapura (13 peratus).
Ketua Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier HSBC Malaysia, Linda Yip berkata, dapatan itu mencerminkan perubahan tingkah laku pelanggan Premier dan Premier Elite HSBC yang kini lebih proaktif mengurus kekayaan.
Katanya, individu mewah dan bernilai bersih tinggi semakin tekad mengimbangi semula portfolio bagi mencapai matlamat kewangan jangka panjang selain lebih peka terhadap tekanan inflasi dan kepentingan menyediakan penampan kewangan untuk persaraan.
“Mereka memberi tumpuan kepada pertumbuhan dan perlindungan kekayaan secara seimbang, dan sentimen itu jelas dapat dilihat menerusi dapatan tinjauan ini,” katanya dalam kenyataan.
Tinjauan itu turut mendapati tiga instrumen kewangan paling banyak dimiliki pelabur mewah di Malaysia ialah insurans (48 peratus), saham (44 peratus) dan emas (43 peratus).
Dalam tempoh setahun akan datang, pelabur dijangka meningkatkan pegangan dalam emas sebanyak 20 mata peratusan, diikuti deposit tetap (19 mata peratusan) dan aset alternatif (17 mata peratusan).
Menurut Linda, walaupun insurans dan saham kekal menjadi teras portfolio, pelabur kini semakin terbuka untuk mempelbagaikan pelaburan menerusi aset alternatif di samping mengekalkan instrumen tradisional seperti emas dan deposit tetap.
Beliau berkata, perubahan corak pelaburan itu menunjukkan golongan berkenaan semakin membuat keputusan berdasarkan objektif kewangan jangka panjang berbanding hanya mengejar pulangan semata-mata.
“HSBC komited membantu pelanggan mencapai matlamat kewangan mereka melalui rangkaian penyelesaian pengurusan kekayaan yang komprehensif serta khidmat pengurus perhubungan khusus bagi menyokong setiap fasa kehidupan dan keputusan kewangan penting,” katanya. – UTUSAN










