Pay Day Now bolehkan pekerja akses gaji lebih awal - Utusan Malaysia

Pay Day Now bolehkan pekerja akses gaji lebih awal

STEVEN Sim Chee Keong (tengah) bersama Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan Kumpulan AmBank, Datuk Jamzidi Khalid (tiga kanan) dan Cllement Tan (tiga kiri) melakukan gimik pelancaran platform Pay Day Now kerjasama AmBank dan Ramssol di Hotel St Regis, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: AmBank dan Ramssol Group Bhd. (Ramssol) melancarkan platform Pay Day Now yang membolehkan pekerja mengakses sebahagian daripada gaji mereka sebelum hari gaji.

Platform itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan anak syarikat milik penuh tidak langsung Ramssol, RAMS Fintech Sdn. Bhd., yang membolehkan majikan menawarkan kemudahan Akses Gaji Diperoleh (EWA) kepada pekerja sehingga 25 peratus daripada gaji mereka setiap minggu sebelum hari gaji.

Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan Kumpulan AmBank, Christopher Yap berkata, pelancaran Pay Day Now mencerminkan komitmen bank untuk terus menyokong pelanggan menerusi penyelesaian inovatif yang memenuhi keperluan mereka yang sentiasa berkembang.

“Kami berbesar hati untuk memperkukuh kerjasama dengan Ramssol dalam menyediakan penyelesaian yang memperkasakan pekerja dengan fleksibiliti kewangan yang lebih baik.

“Pada masa sama, ia membantu perniagaan meningkatkan kesejahteraan kewangan pekerja serta membina persekitaran kerja yang lebih mampan,” katanya pada Majlis Pelancaran Rasmi Pay Day Now di sini semalam.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong.

Platform itu membantu pekerja mengurus keperluan aliran tunai jangka pendek, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman berkos tinggi dan menggalakkan amalan pengurusan kewangan yang lebih mampan.

Penyelesaian itu direka untuk organisasi daripada pelbagai saiz, termasuk agensi sektor awam, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat korporat serta syarikat tersenarai awam, bagi memperkukuh sokongan kepada pekerja di samping memodenkan proses penggajian.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Ramssol, Datuk Ts. Cllement Tan berkata, Pay Day Now merupakan penyelesaian pertama seumpamanya di Malaysia yang dibangunkan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja moden.

“Kami percaya Pay Day Now mewakili generasi baharu manfaat pekerja dengan memberikan kawalan yang lebih besar terhadap pendapatan yang telah diperoleh, di samping membantu majikan membina tenaga kerja yang lebih kukuh dan lebih terlibat.

“Penyelesaian ini dapat membantu pekerja mengurus kewangan dengan lebih baik serta meningkatkan keyakinan dan ketenangan fikiran, selain menyokong organisasi dalam menarik, melibatkan dan mengekalkan bakat,” katanya.

Perniagaan yang berminat melaksanakan Pay Day Now boleh memuat turun aplikasi itu menerusi Apple App Store atau Google Play.

Melalui kerjasama tersebut, majikan yang layak turut boleh memanfaatkan keupayaan perbankan dan penyelesaian pengurusan tunai AmBank bagi menyokong pelaksanaan kemudahan Akses Gaji Diperoleh yang lebih lancar dan selamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN