PETALING JAYA: Prestasi industri automotif diunjur terus mengukuh pada separuh kedua 2026, disokong oleh pelancaran model baharu, peningkatan kempen promosi dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang stabil, menurut RHB Investment Bank Bhd.
Penganalisisnya, Iftaar Hakim Rusli berkata, jualan kenderaan dijangka meningkat pada separuh kedua, didorong faktor bermusim terutama kempen jualan hujung tahun, selain pelancaran model baharu seperti Proton e.MAS 7 Premium Plus EV, BYD Atto 3 dan Mazda CX-5.
Menurutnya, kadar inflasi yang lebih rendah daripada jangkaan pada 1.9 peratus pada Jun, bersama semakan naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh RHB Economics, mencerminkan keadaan makroekonomi yang masih kukuh, disokong pasaran buruh yang teguh, peningkatan pendapatan isi rumah dan OPR yang stabil.
“Secara sejarah, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi separuh pertama menyumbang sekitar 46 peratus hingga 48 peratus daripada jumlah tahunan.
“Berdasarkan andaian sama bagi 2026, TIV tahun penuh dianggarkan mencecah 806,000 hingga 844,000 unit, bersamaan perubahan -2 peratus hingga +3 peratus.
“Sehubungan itu, RHB Research menaikkan unjuran TIV tahun penuh sebanyak tiga peratus kepada 805,000 unit berbanding 780,000 unit sebelum ini,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bagaimanapun, beliau berkata, firma itu kekal berhati-hati terhadap tekanan inflasi keseluruhan yang berpotensi menjejaskan perbelanjaan mengikut budi bicara pengguna.
“Persatuan Automotif Malaysia (MAA) merekodkan TIV sebanyak 67,879 unit pada Jun, meningkat 10 peratus bulan ke bulan dan 23 peratus tahun ke tahun, manakala jumlah pengeluaran keseluruhan (TPV) mencecah 69,000 unit.
“Prestasi lebih kukuh pada Jun adalah sejajar dengan jangkaan berikutan bilangan hari bekerja yang lebih tinggi,” katanya.
Dalam segmen kenderaan elektrik (EV), Proton kekal sebagai jenama paling laris pada Jun. Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut merangkumi ahli bukan MAA, Proton mencatat 1,888 pendaftaran EV (naik enam peratus bulan ke bulan), diikuti BYD dengan 1,076 unit (naik 16 peratus bulan ke bulan) dan Tesla sebanyak 935 unit (lebih tiga kali ganda berbanding Mei).
RHB mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor automotif berikutan ketidaktentuan dasar, potensi tekanan inflasi yang boleh menjejaskan permintaan serta kitaran penggantian kenderaan yang semakin perlahan selepas empat tahun berturut-turut mencatat rekod TIV yang tinggi.
Risiko utama termasuk tempahan yang lebih lemah daripada jangkaan dan persaingan harga yang semakin sengit. – UTUSAN










