PETALING JAYA: Harga minyak mentah dijangka melonjak sehingga AS$100 (RM409.21) setong seawal bulan depan, sekiranya tiada perjanjian damai dicapai bagi menamatkan konflik geopolitik di antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Prof. Dr. Yeah Kim Leng berkata, kenaikan harga minyak mentah melebihi AS$90 (RM368.27) setong ketika ini memberi kesan besar kepada ekonomi global, khususnya negara yang bergantung kepada import tenaga.
Katanya, pertumbuhan ekonomi dunia dijangka perlahan sekiranya harga kekal tinggi dalam tempoh yang panjang, sekali gus menjejaskan permintaan terhadap eksport serta pertumbuhan import.
“Ketidaktentuan yang semakin meningkat turut menyebabkan pelabur lebih berhati-hati, dengan banyak keputusan pelaburan berkemungkinan ditangguhkan sehingga prospek ekonomi global menjadi lebih jelas.
“Pasaran kewangan juga dijangka kekal tidak menentu berikutan kebimbangan terhadap prospek ekonomi serta risiko geopolitik yang semakin meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sehingga lewat petang semalam, minyak mentah Brent melonjak 3.6 peratus kepada AS$97.46 (RM398.28) setong, manakala penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) naik 2.75 peratus kepada AS$89.22 (RM364.61) setong.
Beliau berharap kemungkinan harga minyak melepasi paras AS$100 (RM409.21) setong bakal mendorong Presiden AS, Donald Trump untuk mempercepatkan usaha rundingan damai.
“Ekonomi AS sendiri sangat sensitif terhadap kenaikan harga minyak. Oleh itu, terdapat tekanan daripada pelbagai kerajaan supaya konflik diselesaikan melalui rundingan damai dengan Iran.
“Jika rundingan damai berjaya dicapai, harga minyak berpotensi kembali susut ke paras sekitar AS$70 (RM286.41) hingga AS$80 (RM327.32) setong,” ujarnya.
Kim Leng berkata, kerajaan negara ini juga berkemungkinan berdepan peningkatan perbelanjaan subsidi bahan api sekiranya harga minyak kekal tinggi.
“Anggaran subsidi minyak ketika ini sekitar RM40 bilion sehingga Jun lalu. Jika konflik dan harga minyak tinggi berlanjutan sehingga hujung tahun, jumlah itu boleh meningkat hampir dua kali ganda.
“Keadaan itu mungkin memaksa kerajaan membuat pelarasan dasar bagi berkongsi beban kenaikan harga dengan pengguna. Jika tiada pelarasan dibuat, kerajaan perlu mencari langkah mengimbangi kedudukan fiskal,” katanya.
Mengulas mengenai tekanan terhadap inflasi, beliau berkata, kesannya dijangka dapat dikawal selagi kerajaan mengekalkan subsidi bahan api.
“Tekanan inflasi akan meningkat secara beransur-ansur, namun impaknya bergantung kepada sejauh mana kerajaan mampu mengekalkan harga runcit bahan api. Jika subsidi dikekalkan, kejutan inflasi dapat diminimumkan.
“Namun subsidi akan terus meningkat jika harga minyak kekal tinggi. Sebaliknya, sekiranya harga minyak kembali normal susulan perjanjian damai, kedudukan fiskal kerajaan akan bertambah baik dan tekanan inflasi juga akan berkurangan,” tambahnya. – UTUSAN










