PETALING JAYA: Malaysia bakal menjadi tuan rumah Persidangan Teknologi Bateri ASEAN Ke-4 (ABTC 2026), sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab perbincangan serantau berkaitan pembangunan industri bateri.
Dianjurkan oleh NanoMalaysia Berhad (NMB), ABTC 2026 membawa tema “Mengindustrikan Teknologi Bateri: Memperkukuh Rantaian Nilai Bateri ASEAN untuk Daya Saing Global” itu bakal diadakan dari 19 hingga 21 Ogos 2026 di Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Sepang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NMB, Prof. (Adj.) Dr. Rezal Khairi Ahmad berkata, ASEAN mempunyai potensi besar dalam bidang penyelidikan, pembuatan, mobiliti elektrik, penyimpanan tenaga serta ekonomi kitaran.
Beliau berkata, usaha menterjemahkan potensi berkenaan kepada keupayaan industri memerlukan penyelarasan lebih erat antara kerajaan, pemain industri, penyelidik dan pelabur.
“Kami berbesar hati menjadi tuan rumah ABTC 2026 pada titik penting dalam perjalanan industri bateri ASEAN.
“Melalui ABTC 2026, NMB berbangga mengalu-alukan pemegang taruh serantau dan antarabangsa ke Malaysia bagi bersama-sama memperkukuh industri bateri ASEAN serta menyokong daya saing jangka panjangnya,” katanya dalam kenyataan.
Persidangan selama tiga hari itu akan menampilkan perbincangan peringkat tinggi, sesi teknikal serta rangkaian industri yang memfokuskan kepada tiga bidang utama iaitu penghasilan bersama dan keselamatan bateri bagi penggunaan kompetitif di ASEAN, pembangunan pembuatan bateri serta integrasi aplikasi dan pemerkasaan pasaran bateri ASEAN.
Antara isu utama yang akan dibincangkan termasuk landskap industri bateri ASEAN, keselamatan bateri, dasar dan pembangunan pasaran, peningkatan kapasiti pembuatan, kitar semula, ekonomi kitaran serta teknologi bateri generasi baharu.
ABTC 2026 turut menampilkan perkongsian daripada pakar antarabangsa dan pemimpin industri serantau daripada organisasi yang dijangka berkongsi pandangan mengenai peluang serta cabaran dalam pembangunan industri bateri ASEAN.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif International Battery Centre (IBC), Ts. Dr Nurul Akmaliah Dzulkurnain berkata, ABTC menjadi platform penting dalam membolehkan negara ASEAN melihat industri bateri sebagai peluang serantau yang perlu diterokai secara bersama.
“Setiap pasaran mempunyai kekuatan tersendiri dari segi dasar, penyelidikan, pembuatan, keselamatan, pembiayaan dan penggunaan teknologi.
“Edisi 2026 di Malaysia akan membantu memperkukuh hubungan ini serta mengenal pasti bagaimana rantau ini boleh bekerjasama dengan lebih berkesan bagi membangunkan industri bateri yang lebih kukuh dan berdaya saing,” katanya.
ABTC 2026 turut menyaksikan pertukaran beberapa kerjasama strategik dan perjanjian yang memperkukuh komitmen Malaysia dalam membangunkan ekosistem bateri serantau.
Antara kerjasama yang bakal diumumkan ialah kolaborasi antara NMB dan The Institution of Engineers, Malaysia (IEM) berkaitan pembangunan penyimpanan tenaga serta pemindahan teknologi.
Selain itu, GigaFactory Malaysia Sdn Bhd (GMSB) dan Milan Utama akan memeterai Perjanjian Pembekalan bagi pembangunan prototaip Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri Kompak (BESS).
Kerjasama strategik lain turut melibatkan Infineon Technologies dan Ampace serta kolaborasi antara Green Tenaga dan Go Rental Singapore. – UTUSAN










