Malaysia sedia kerangka keselamatan ekonomi depani krisis global - Utusan Malaysia

Malaysia sedia kerangka keselamatan ekonomi depani krisis global

PENASIHAT Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein ketika bercakap pada forum Simposium Sasana 2026 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti beberapa pembaharuan dalaman termasuk mewujudkan satu kerangka keselamatan ekonomi bagi memperkukuh daya tahan negara terhadap gangguan rantaian bekalan yang semakin mencabar susulan ketidaktentuan geopolitik global.

Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata, inisiatif itu bertujuan menangani kelemahan rantaian bekalan yang dikenal pasti sepanjang krisis sebelum ini, di samping meningkatkan kesiapsiagaan negara menghadapi cabaran ekonomi pada masa hadapan.

Katanya, dunia kini sedang beralih daripada sistem unipolar kepada sistem multipolar, dengan persaingan ekonomi antara negara dijangka terus menjadi ciri utama landskap ekonomi global.

“Persaingan ekonomi akan terus berlaku. Rejim perdagangan bebas yang banyak memberi manfaat kepada Malaysia dalam tempoh dua atau tiga dekad lalu semakin berubah.

“Sehubungan itu, kita perlu memahami implikasinya dan memikirkan bagaimana untuk terus berkembang dalam persekitaran baharu ini,” katanya dalam sesi bertajuk ‘Ketahanan: Implikasi terhadap Dasar dan Amalan’ sempena Simposium Sasana 2026, di sini hari ini.

Antara ahli panel terlibat Pengerusi, Institut Penyelidikan Khazanah, Dr. Nungsari Ahmad Radhi serta Bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia(BNM) dan Bekas Pengerusi OCBC Bank Singapore, Datuk Ooi Sang Kuang.

Panel tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Danial Rahman.

Mengulas lanjut, Nurhisham berkata, perubahan landskap ekonomi global yang menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup dan kos pengeluaran tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman semata-mata, sebaliknya membuka ruang baharu untuk Malaysia memperkukuh strategi ekonomi.

“Perkembangan berkenaan turut membuka peluang baharu yang boleh dimanfaatkan Malaysia, termasuk melalui penyesuaian strategi ekonomi dan usaha menarik pelaburan daripada sumber serta pasaran baharu,” katanya.

Nurhisham berkata, strategi pembangunan ekonomi negara perlu berkembang seiring perubahan landskap global kerana formula yang menyokong pertumbuhan Malaysia sepanjang dua hingga tiga dekad lalu tidak lagi mencukupi untuk menghadapi cabaran semasa.

Katanya, Malaysia memperoleh manfaat besar daripada strategi “China Plus One” sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini menerusi kemasukan pelaburan sektor pembuatan, namun keadaan semasa memerlukan pendekatan yang lebih meluas.

“Kita kini menuju kepada ‘World Plus One’, bukan lagi sekadar bergantung kepada peluang daripada pemindahan operasi keluar dari China. Kita juga perlu melihat potensi menarik pelaburan dari Asia Barat serta memanfaatkan perubahan laluan perkapalan global,” katanya.

Nurhisham berkata, setiap krisis yang dilalui negara memberikan pengajaran penting dalam memperkukuh daya tahan ekonomi, termasuk membentuk dasar dan strategi baharu untuk menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan.

Jelasnya, asas keupayaan Malaysia menghadapi krisis sebenarnya telah dibina sejak beberapa dekad lalu, termasuk melalui penubuhan Petronas pada 1973 serta pembinaan kilang penapisan minyak pertama negara pada 1978 yang memperkukuh kapasiti sektor tenaga negara.

Nurhisham berkata, pengalaman ketika pandemik Covid-19 turut menjadi titik perubahan penting apabila kerajaan memperoleh pemahaman lebih mendalam mengenai rantaian bekalan, hubungan antara industri serta kelemahan yang wujud dalam ekosistem ekonomi.

“Setiap krisis memberi pengajaran kepada kita. Kita sentiasa berkembang dan menjadi lebih bersedia berbanding sebelumnya. Apa yang kita lakukan hari ini adalah menyesuaikan strategi dengan dunia yang sudah banyak berubah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN