Konflik Asia Barat melonjakkan kos diesel pembinaan RM1.1b

Konflik Asia Barat melonjakkan kos diesel pembinaan RM1.1b

SEKTOR pembinaan Malaysia menggunakan kira-kira 1.4 bilion liter diesel setahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketegangan dan konflik berterusan di Asia Barat membabitkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran berpotensi menambah sehingga RM1.1 bilion kepada bil diesel industri pembinaan negara bagi tahun 2026.

Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, angka tersebut berdasarkan andaian jika paras purata harga diesel pasaran sejak konflik tercetus berlanjutan sehingga akhir tahun ini.

Beliau berkata, sekiranya harga tinggi itu berterusan, kos diesel industri pembinaan dijangka meningkat sekitar RM25 juta seminggu berikutan kenaikan purata harga pasaran diesel sebanyak 57.7 peratus daripada RM3.04 seliter kepada RM4.80 seliter.

“Sektor pembinaan Malaysia menggunakan kira-kira 1.4 bilion liter diesel setahun, dengan separuh daripadanya atau 740 juta liter dibeli pada harga pasaran tanpa subsidi.

“Ramai tidak menyedari bahawa jentera luar jalan (off-road) seperti ekskavator, kren, jentera penanaman cerucuk dan penjana kuasa tidak layak menerima subsidi dan perlu membayar harga pasaran penuh,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Kashif berkata, impak itu kekal pada paras yang boleh diurus dengan cabaran kos purata dianggarkan sekitar RM2,000 bagi setiap unit rumah baharu, berpandukan harga purata kediaman RM507,000.

Katanya, daripada keseluruhan kenaikan kos RM1.1 bilion tersebut, sektor pembinaan kediaman merangkumi sekitar RM200 juta berikutan penggunaan jentera berat yang lebih rendah berbanding pembinaan jalan raya dan utiliti.

“Bagi mengurangkan beban kos berkenaan tanpa memindahkan impak kepada pembeli, Juwai IQI mencadangkan agar kerajaan memperluas bantuan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dengan memasukkan kenderaan pembinaan utama seperti lori simen konkrit dan kren.

“Selain itu, kerajaan juga disaran menambah kuota diesel bagi kontraktor di kawasan luar bandar dan pedalaman yang perlu bergerak pada jarak lebih jauh,” katanya. 

Bagi pihak industri pula, kontraktor digesa memastikan kesemua kenderaan dan lori syarikat yang layak didaftarkan secara menyeluruh di bawah skim subsidi sedia ada bagi melindungi perniagaan daripada lonjakan kos bahan api. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN