PETALING JAYA: Jenama automotif nasional mencatatkan pertumbuhan jualan yang lebih pantas berbanding jenama bukan nasional pada separuh pertama 2026, sekali gus meningkatkan pegangan pasaran kepada 67 peratus.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd. Shamsor Mohd. Zain berkata, sebanyak 256,304 unit kenderaan jenama nasional berjaya dijual bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, meningkat sembilan peratus atau 20,343 unit berbanding 235,961 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, peningkatan jualan itu membolehkan pegangan pasaran jenama nasional naik kepada 67 peratus daripada 63 peratus pada separuh pertama 2025.
“Selain itu, jualan kenderaan bukan nasional susut kepada 129,049 unit, sekali gus menyaksikan pegangan pasarannya merosot kepada 33 peratus berbanding 37 peratus setahun lalu.
“Dengan momentum yang berterusan, kami berpandangan sasaran itu adalah munasabah,” katanya pada sidang media Prestasi Industri Automotif Malaysia bagi separuh pertama 2026 di ibu pejabat MAA, di sini hari ini.
Secara keseluruhan, industri automotif negara merekodkan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 385,353 unit bagi enam bulan pertama 2026, meningkat tiga peratus atau 11,717 unit berbanding 373,636 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
“Segmen kenderaan komersial pula berdepan cabaran apabila jualannya menurun 11 peratus kepada 23,718 unit, didorong kemerosotan jualan trak pikap sebanyak 19 peratus.
“Dari segi pengeluaran pula, jumlah pengeluaran industri (TIP) meningkat 1.2 peratus kepada 356,946 unit berbanding 352,626 unit dalam tempoh sama 2025.
“Daripada jumlah itu, pengeluaran kenderaan penumpang meningkat satu peratus kepada 336,031 unit, manakala pengeluaran kenderaan komersial melonjak 11 peratus kepada 20,915 unit,” katanya.
Mohd.Shamsor berkata, prestasi lebih kukuh industri pada separuh pertama tahun ini didorong beberapa faktor utama termasuk peningkatan permintaan terhadap kenderaan utiliti sukan (SUV) yang meningkat 19 peratus, terutama hasil pengenalan model kenderaan elektrik (EV) daripada Proton serta pelancaran model baharu oleh pengeluar automotif. – UTUSAN










