PETALING JAYA: INTI International University melancarkan Pusat Media yang dinaik taraf menerusi pelaburan kira-kira RM2 juta bagi memperkukuh pengajaran dan pembelajaran program Komunikasi Massa menerusi penyediaan kemudahan produksi media bertaraf industri.
Pusat Media di bawah Fakulti Perniagaan dan Komunikasi itu menyediakan kemudahan lengkap meliputi produksi televisyen, pembikinan filem, fotografi, radio, podcast, produksi audio serta penstriman langsung bagi memberi pendedahan praktikal kepada pelajar.
Naik taraf tersebut merangkumi studio, bilik kawalan produksi, studio podcast, suite penyuntingan serta penambahbaikan sistem pencahayaan, elektrik, rangkaian, rawatan akustik dan perabot.
Selain itu, pusat berkenaan kini dilengkapi studio produksi televisyen dengan kamera berteknologi tinggi, bilik kawalan produksi, studio radio, bilik audio, studio fotografi dan kemudahan penyuntingan profesional.
Ketua Pegawai Eksekutif INTI International University & Colleges, Dr Chong Kok Wai berkata, pelaburan tersebut bertujuan menyokong pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih praktikal, di samping memperkukuh persediaan graduan Komunikasi Massa.
“Pelaburan ini dapat dilihat menerusi ruang dan peralatan yang terdapat di sekeliling kita. Bagaimanapun, nilai sebenarnya akan dapat dilihat melalui perkara yang mampu dilakukan oleh para pensyarah dan pelajar di sini.
“Kami mahu graduan memahami idea, etika dan tanggungjawab di sebalik bidang komunikasi, selain mampu menghasilkan karya yang bersedia untuk disampaikan kepada khalayak,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, melalui kemudahan tersebut, pelajar berpeluang menyediakan skrip, mengendalikan peralatan profesional, bekerja dalam pasukan produksi dan menilai semula hasil kerja mereka. Mereka juga akan memperoleh pengalaman menghasilkan kandungan dalam pelbagai format dan platform, sejajar dengan skop kerjaya media yang semakin luas dan pelbagai.
“Justeru, graduan yang memasuki industri kini dijangka mampu menyumbang dalam lebih daripada satu bidang bagi sesebuah projek.
“Kita tidak dapat meramalkan setiap peralatan yang akan digunakan oleh pelajar pada masa hadapan. Namun, kita boleh memberikan mereka asas yang kukuh, pengalaman praktikal dan keyakinan untuk terus belajar.”
Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Siti Nurbaayah Daud berkata, Pusat Media itu berfungsi sebagai ruang yang membolehkan pelajar mengembangkan kreativiti dan meneroka kaedah baharu dalam menyampaikan komunikasi.
“Pusat Media ini bukan sekadar sebuah kemudahan. Ia merupakan platform yang menghidupkan idea, mencipta pelbagai cerita dan membantu bakal profesional media membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam landskap digital yang sentiasa berkembang,” katanya. – UTUSAN










