PETALING JAYA: Honda Malaysia melaburkan kira-kira RM14 juta bagi memasang sistem tenaga solar di Kilang Melaka, Alor Gajah, Melaka sebagai sebahagian daripada usaha syarikat mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.
Sistem itu membabitkan pemasangan kira-kira 8,960 panel solar di bumbung kilang dengan jumlah kapasiti melebihi 5.6 megawatt (MW) yang dijangka menjana sekitar 7,042 megawatt-jam (MWh) tenaga elektrik boleh diperbaharui setiap tahun.
Inisiatif tersebut sekali gus mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2)sebanyak 4,584 tan setahun, bersamaan kira-kira 10 peratus daripada jumlah pelepasan karbon keseluruhan kilang.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, penyiapan projek tenaga solar ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan kelestarian Honda Malaysia.
Katanya, selain mengurangkan jejak alam sekitar, ia mencerminkan komitmen syarikat terhadap pembuatan yang bertanggungjawab serta aspirasi untuk menyumbang ke arah masa depan yang neutral karbon.
“Berdasarkan komitmen ini, Honda Malaysia akan memperluaskan lagi inisiatif tenaga solar ke Gudang Bekalan Alat Ganti di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 2027, sekali gus mengukuhkan usaha jangka panjang kami dalam memacu operasi yang lebih mampan.
“Selain itu, perjalanan kelestarian kami tidak terhad kepada kemudahan milik syarikat sahaja. Pihak berkepentingan kami, termasuk pengedar Honda, turut mengamalkan inisiatif mesra alam seperti sistem penuaian air hujan dan pelupusan bateri secara bertanggungjawab.
“Usaha kolektif ini membantu meningkatkan prestasi alam sekitar secara keseluruhan dan menyokong visi bersama ke arah masa depan yang lebih lestari,” katanya dalam kenyataan.
Projek pemasangan solar pertama syarikat itu dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Selain sistem solar fotovoltaik (PV), Honda Malaysia turut melaksanakan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan tenaga boleh diperbaharui.
BESS berfungsi menyimpan lebihan tenaga solar untuk digunakan pada masa lain, sekali gus meningkatkan kecekapan dan memastikan bekalan tenaga yang lebih stabil bagi operasi kilang.
Tambahnya, Honda Malaysia menjadi antara perintis dalam kalangan pengguna elektrik industri di Malaysia yang memasang BESS, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha syarikat ke arah neutraliti karbon dan menyokong peralihan negara kepada ekonomi rendah karbon.
“Selaras dengan komitmen kelestariannya, Honda Malaysia turut berjaya memperoleh pensijilan Climate and Sustainability Industry Readiness Index (COSIRI) dengan penarafan 3.07 bintang,” ujarnya. – UTUSAN










