Harga petrokimia melonjak pacu prestasi PCG pada suku kedua - Utusan Malaysia

Harga petrokimia melonjak pacu prestasi PCG pada suku kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) dijangka merekodkan prestasi kewangan yang lebih kukuh bagi suku kedua tahun kewangan 2026 disokong lonjakan harga produk petrokimia utama susulan gangguan bekalan global serta peningkatan permintaan terhadap baja, khususnya dari India. 

CIMB Securities berkata, segmen baja dan metanol (F&M) dijangka menjadi penyumbang utama kepada peningkatan pendapatan apabila harga ammonia, metanol dan urea masing-masing melonjak 54.1 peratus, 56.9 peratus dan 27.9 peratus berbanding suku sebelumnya.

“Kenaikan harga itu didorong oleh gangguan bekalan di Asia Barat, penutupan beberapa loji pengeluaran di rantau berkenaan serta permintaan baja yang lebih kukuh dari India,” katanya dalam nota penyelidikan. 

Dalam masa sama, segmen olefin dan derivatif (O&D) turut dijangka mencatat prestasi lebih baik berikutan peningkatan harga etilena, mono etilena glikol (MEG), polietilena (PE) dan paraxylene.

Bagaimanapun, kerja penyelenggaraan berjadual di Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih pada April lalu dipercayai mengehadkan keupayaan syarikat memanfaatkan sepenuhnya lonjakan harga akibat kekangan bekalan global. 

Bagi segmen bahan kimia khusus pula, prestasinya dijangka kekal bercampur-campur apabila permintaan yang teguh di India dan Asia Tenggara hanya mampu mengimbangi kelemahan pasaran di Eropah dan China.

Dalam pada itu, memasuki Julai 2026, harga kebanyakan produk petrokimia dilihat mula kembali stabil apabila bekalan bertambah baik, premium risiko geopolitik semakin berkurangan dan permintaan hiliran masih sederhana.

Sehingga 17 Julai, harga mingguan kebanyakan produk berada antara empat hingga 40 peratus lebih rendah berbanding purata harga pada suku kedua, sekali gus memberi petunjuk bahawa keuntungan luar biasa yang dinikmati segmen F&M mungkin sukar dikekalkan pada suku ketiga.

Namun, prospek masih mempunyai potensi peningkatan sekiranya bekalan global terus terhad dan permintaan dari India kembali meningkat menjelang musim penanaman.

Sementara itu, segmen O&D juga dijangka berdepan tekanan susulan normalisasi harga produk, namun peningkatan kadar pengeluaran di Pengerang Petrochemical Company (PPC) bermula Jun lalu dijangka membantu mengurangkan kerugian operasi fasiliti berkenaan. 

Firma penyelidikan mengekalkan saranan “Hold” terhadap saham PCG dengan harga sasaran RM5.45 sesaham berdasarkan penilaian 7 kali gandaan EV/EBITDA bagi tahun kewangan 2027.

Menurutnya, purata harga produk pada suku kedua secara keseluruhannya adalah selaras dengan jangkaan, sekali gus menyokong unjuran pendapatan semasa.

Bagaimanapun, sentimen terhadap saham itu berpotensi bertambah baik sekiranya margin industri petrokimia meningkat secara mampan hasil rasionalisasi kapasiti global atau pelupusan kepentingan dalam PPC berjaya dimuktamadkan, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap keuntungan kumpulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN