PETALING JAYA: Jenama kentang goreng berperisa tempatan, Happy Potato mencatat perkembangan terpantas sejak penubuhannya apabila berjaya memasuki empat pasaran luar negara dalam tempoh enam bulan, sekali gus mengembangkan rangkaiannya kepada 126 cawangan di lima negara.
Perkembangan itu menyaksikan Happy Potato hampir menggandakan jumlah cawangannya di Malaysia kepada 117 cawangan, selain membuka tiga cawangan di Bangladesh, masing-masing dua di Indonesia, China dan Kemboja.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersamanya, Edmund Lim berkata, kejayaan itu didorong oleh persediaan rapi syarikat dalam memperkukuhkan model francais, sistem operasi dan kedudukan jenama sebelum menembusi pasaran antarabangsa.
Katanya, membuka cawangan hanyalah sebahagian daripada proses pengembangan dan cabaran yang lebih besar ialah memastikan pelanggan menerima pengalaman, kualiti produk dan standard perkhidmatan yang sama tidak kira di mana mereka mengunjungi Happy Potato.
“Ia memerlukan sistem operasi yang mantap, sokongan kepada francaisi dan rakan kongsi tempatan yang sesuai. Enam bulan lalu memberi peluang kepada kami menguji sistem tersebut di pelbagai pasaran.
“Setiap negara mempunyai cara operasi berbeza, justeru setiap pembukaan cawangan membantu kami memahami bagaimana untuk mengembangkan perniagaan sambil mengekalkan konsistensi yang diharapkan pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Happy Potato yang diasaskan pada 2019 dengan sebuah cawangan di Suria Sabah, Kota Kinabalu, mula berkembang ke Semenanjung Malaysia pada 2023 sebelum mempercepatkan pengembangan francais sejak dua tahun lalu.
Syarikat itu mula memasuki Bangladesh dan Indonesia pada Februari lalu, sebelum meluaskan operasi ke China pada Mei dan membuka cawangan kedua di negara itu sebulan kemudian.
Menurutnya, syarikat memasuki Kemboja selain membuka cawangan ketiga di Bangladesh pada Julai.
Jelasnya, perkembangan di luar negara itu menyusuli pertumbuhan pesat di Malaysia apabila syarikat menambah 98 cawangan sepanjang 2024 hingga 2025 selepas membuka cawangan milik sendiri pertama di Semenanjung Malaysia pada Oktober 2023.
Edmund berkata, syarikat kini menyasarkan untuk memiliki 200 cawangan di seluruh negara menjelang 2028, selain merancang memperluaskan operasi ke tiga hingga lima lagi negara di Asia.
“Happy Potato bermula sebagai jenama kentang goreng tempatan Malaysia dan kini kami beroperasi di lima pasaran. Namun, ini hanyalah permulaan kepada rancangan pengembangan kami,” katanya. – UTUSAN










