PETALING JAYA: Pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion-Ford) meluaskan rangkaian Ford Ranger Generasi Baharu bagi pasaran tempatan yang ditawarkan pada harga bermula RM127,888.
Bagi pasaran Semenanjung Malaysia, model asas Ranger XL dijual pada harga RM127,888, disusuli varian Ranger Sport 2.0L pada RM145,888 dan Ranger Sport 3.0L pada RM159,888, manakala varian tertinggi Ranger Platinum ditawarkan pada harga RM205,888 (atas jalan, tidak termasuk insurans).
Pengarah Urusan Auto ConneXion, Turse Zuhair berkata, pengenalan pelbagai pilihan harga dan varian baharu itu adalah bagi memenuhi keperluan serta gaya hidup pengguna tempatan yang kian berubah.
“Seiring jangkaan pelanggan yang terus berubah, kami meluaskan rangkaian Ranger untuk menawarkan kenderaan yang menyediakan keseimbangan melalui keteguhan, teknologi canggih dan keselesaan premium.
“Berlandaskan falsafah Ready, Set, Ford, kami bertekad untuk memperkasakan pelanggan untuk menghadapi apa sahaja sama ada mengusahakan perniagaan, beriadah dengan keluarga atau menikmati pengembaraan yang seterusnya,” katanya semasa majlis pelancaran di sini semalam.
Turut hadir, Pengurus Negara Ford APDM, Thomas Dixon; Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors, Jeffrey Gan dan Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran Malaysia Sime Motors, Vi Thim Juan.
Pelancaran varian baharu ini turut mencatatkan pencapaian penting buat jenama berkenaan apabila jualan Ford Ranger Generasi Baharu kini secara keseluruhannya telah melepasi 24,000 unit di jalan raya Malaysia sejak mula diperkenalkan pada tahun 2022.
Setiap varian direka mengikut segmen khusus di mana Ranger Platinum dikuasakan enjin 3.0L V6 Turbo Diesel berkuasa 250PS dan tork 600Nm, manakala Ranger Sport menawarkan fleksibiliti kegunaan harian dan Ranger XL memfokuskan kepada kebolehpercayaan sektor komersial serta perniagaan.
Bagi memperkukuh sokongan selepas jualan, Auto ConneXion-Ford turut membuka hab alat ganti baharu di Kota Kinabalu, Sabah yang bakal memulakan operasi secara berfasa bermula 27 Julai 2026 bagi memendekkan tempoh penghantaran alat ganti tulen di Sabah dan Sarawak.
Syarikat turut menawarkan promosi pelancaran berupa kamera papan pemuka (dashcam) percuma bagi pembelian Ranger XL dan Ranger Sport 2.0L, manakala pembeli Ranger Sport 3.0L dan Ranger Platinum 3.0L bakal menikmati Pelan Perkhidmatan Lanjutan Asas (ESP) percuma selama dua tahun untuk pendaftaran sebelum 31 Ogos 2026. – UTUSAN










