Dasar Perumahan Negara 3.0 bakal dilancar pada 10 Ogos - Utusan Malaysia

Dasar Perumahan Negara 3.0 bakal dilancar pada 10 Ogos

NGA Kor Ming berucap ketika menyertai sesi meja bulat ketika Persidangan Perumahan Serantau 2026 bersempena AREC 2026 di hotel M World, Petaling Jaya. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dasar Perumahan Negara 3.0 (2026–2036) yang menggantikan Dasar Perumahan Negara (2018–2025) akan dilancarkan pada 10 Ogos ini bagi memastikan pemilikan rumah lebih mampu milik kepada rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, dasar baharu itu turut menjadi asas kepada usaha kerajaan mencari penyelesaian terhadap isu projek sakit dan projek perumahan terbengkalai.

Beliau berkata, menerusi Dasar Perumahan Negara 3.0, kerajaan menetapkan sasaran menjelang 2030 untuk menghapuskan projek perumahan terbengkalai di negara ini.

“Sasaran itu akan dicapai menerusi pelbagai reformasi sektor perumahan yang telah dilaksanakan, termasuk Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS), sistem Mengubah dan Memperkasa Penggunaan Data dalam Perumahan (TEDUH) serta Perjanjian Jual Beli Elektronik (eSPA).

“Selain itu, kami turut melaksanakan audit berjadual terhadap Akaun Pemajuan Perumahan.

“Kesemua inisiatif ini akan digabungkan dalam Dasar Perumahan Negara Ketiga yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Sime Darby pada 10 Ogos nanti,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran laporan penyelidikan REHDA Institute bertajuk “Housing for All: Co-Creating a Needs-Driven Framework”.

Kor Ming berkata, kerajaan turut mendapatkan pandangan pakar daripada pelbagai bidang bagi memperkukuh pelaksanaan dasar berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan akan menubuhkan Malaysia-Cambridge Urban Platform yang membolehkan pakar dari Universiti Cambridge memberi nasihat serta pandangan kepada Malaysia dalam merangka dasar pembangunan bandar dan perumahan.

“Kami juga merancang melaksanakan satu siri program.

“Pada masa sama, usaha kami bukan sekadar menyediakan perumahan, malah memberi tumpuan kepada pembangunan Indeks Infrastruktur Mampan dan Berdaya Tahan Iklim,” katanya.

Beliau berkata, sehingga pagi 28 Julai 2026, Malaysia telah merekodkan sebanyak 500 juta kaki persegi bangunan hijau, sekali gus mencerminkan keluasan bangunan yang memenuhi piawaian indeks hijau negara.

“Namun, sebagai Presiden Perhimpunan UN-Habitat, Malaysia menyasarkan untuk membangunkan satu piawaian yang boleh dijadikan rujukan oleh negara-negara lain.

“Seperti SIRIM, Malaysia juga akan mempunyai piawaian Indeks Bangunan Hijau yang dibangunkan sendiri selepas kerjasama dengan Universiti Cambridge dimuktamadkan.

“Usaha ini akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang menyediakan kediaman berkualiti kepada rakyat.

“Ia sekali gus menjadikan negara ini muncul sebagai peneraju dalam agenda perumahan global dengan menawarkan standard berkualiti tinggi serta membangunkan bandar yang benar-benar dicintai oleh warganya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN