KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Berhad menjangkakan satu hingga dua tawaran awam permulaan (IPO) berskala besar pada separuh kedua tahun ini, disokong saluran penyenaraian yang kukuh.
Ini sejajar dengan semak naik sasaran permodalan pasaran IPO bagi 2026 kepada RM34 bilion daripada RM28 bilion sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, ini berdasarkan senarai syarikat berkapitalisasi besar yang sedang melalui proses penyenaraian, malah beberapa permohonan juga telah diterima.
Ujarnya, semakan sasaran kepada RM34 bilion pula dibuat selepas Bursa Malaysia berjaya melepasi sasaran asal permodalan pasaran IPO bagi keseluruhan tahun menerusi prestasi memberangsangkan pada separuh pertama 2026.
“Sebanyak 36 IPO telah disenaraikan di Pasaran Utama, ACE dan LEAP, yang berjaya mengumpul dana sebanyak RM5.4 bilion serta menyumbang RM26.1 bilion kepada permodalan pasaran pada separuh pertama tahun ini.
“Setakat hari ini, kami telah melepasi sasaran penuh tahun sebanyak RM28 bilion dari segi permodalan pasaran IPO. Justeru, adalah wajar untuk kami menyemak semula sasaran itu kepada RM34 bilion,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman prestasi kewangan Bursa Malaysia bagi separuh pertama 2026 di sini, hari ini.
Menurut beliau, saluran penyenaraian ketika ini sangat menggalakkan, merangkumi syarikat berkapitalisasi besar dan sederhana, malah beberapa permohonan penyenaraian juga telah diterima.
“Kami berharap dapat melihat satu atau dua IPO berskala besar pada separuh kedua tahun ini,” katanya.
Mengulas mengenai prestasi FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI), Fad’l menjangkakan indeks penanda aras bertambah baik pada separuh kedua tahun ini susulan kemasukan semula dana asing ke pasaran tempatan.
“Pasaran ketika ini banyak dipengaruhi oleh perubahan aliran pelaburan global. Sebelum ini, kami melihat aliran dana bergerak ke pasaran seperti Taiwan dan Korea Selatan berikutan prestasi kukuh saham berkaitan teknologi.
“Bagaimanapun, selepas berlaku sedikit pembetulan dalam saham teknologi, kami kini melihat aliran dana mula kembali ke Malaysia,” ujarnya.
Beliau berkata, Malaysia mencatat aliran masuk dana asing pada Julai, khususnya ke dalam saham-saham defensif yang menawarkan kestabilan dan pulangan, seperti sektor perbankan dan utiliti.
“Kepelbagaian sektor di pasaran Malaysia membolehkan pelabur mendapatkan pendedahan kepada aset yang lebih stabil.
Tambahnya, FBM KLCI terus menunjukkan daya tahan dengan nisbah harga kepada pendapatan hadapan (PER) sebanyak 15.4 kali, yang masih didagangkan pada diskaun berbanding purata 10 tahunnya sebanyak 15.8 kali.
“Secara keseluruhannya, walaupun ketidaktentuan geopolitik dan makroekonomi masih mewarnai persekitaran semasa, kami percaya Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran tersebut, disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh serta pasaran modal yang sihat,” jelasnya. – UTUSAN










