KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang merangka Pelan Induk Sektor Kewangan 2027-2030 menerusi kerjasama erat bersama pemain industri, kerajaan dan pihak berkepentingan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pembangunan sektor kewangan negara.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pelan itu bertujuan memastikan strategi yang dirangka mengambil kira cabaran sebenar dihadapi sektor kewangan, selain sejajar dengan keperluan ekonomi yang terus berkembang serta berubah mengikut persekitaran semasa.
Menurutnya, masa depan sektor kewangan bukan semata-mata bergantung kepada kepantasan atau kecanggihan teknologi.
“Ia sebaliknya turut bergantung kepada keupayaan inovasi berkenaan dalam memperkukuh keyakinan, memperluas peluang dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.
“Cabaran yang berada di hadapan kita merupakan tanggungjawab bersama. Dengan kerjasama semua pihak, kita yakin hasil yang diharapkan dapat dicapai,” katanya pada pembukaan sidang AICB Nexus 2026 anjuran Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), semalam.
Selain kecerdasan buatan (AI), beliau berkata, perkembangan seperti Kewangan Terbuka dan tokenisasi aset turut akan membentuk landskap sektor kewangan negara.
“Kerangka Kewangan Terbuka menyediakan asas kepada perkongsian data yang selamat berasaskan persetujuan pengguna dengan infrastruktur sokongan sedang dibangunkan bersama Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) dan pihak industri untuk pelaksanaan secara berperingkat mulai 2027.
“Sementara itu, hala tuju tokenisasi aset kini memasuki fasa perintis menerusi Hab Inovasi Aset Digital.
“Namun, semua ini hanyalah alat dan bukan matlamat akhir. Nilai sebenar teknologi terletak pada sejauh mana ia meningkatkan kualiti hidup, memperkukuh daya tahan dan mendalamkan kepercayaan masyarakat,” katanya.
Abdul Rasheed berkata, AI kini mengubah landskap perkhidmatan kewangan menerusi penggunaannya dalam pengesanan penipuan, penilaian risiko kredit dan insurans, pematuhan serta peningkatan kualiti perkhidmatan pelanggan.
Jelasnya, jika kepercayaan ingin kekal menjadi asas kewangan dalam era AI, tiga keutamaan perlu diberi perhatian.
“Pertama, inovasi mesti mempunyai tujuan yang jelas. Dengan lebih 70 peratus penyedia perkhidmatan kewangan di Malaysia telah melaksanakan sekurang-kurangnya satu aplikasi AI.
“Fasa seterusnya ialah memanfaatkan teknologi ini untuk menangani cabaran bersama seperti penipuan dan ancaman siber melalui kerjasama seluruh ekosistem.
“Kedua, inovasi mesti dilaksanakan secara bertanggungjawab. Walaupun AI membantu meningkatkan keupayaan membuat keputusan, akauntabiliti mesti kekal bersama pemimpin dan pihak yang diberi amanah untuk mentadbir.
“Ketiga, inovasi mesti membawa manfaat kepada semua. Masa depan AI bukan hanya bergantung kepada teknologi, tetapi juga modal insan.
“Oleh itu, pelaburan dalam peningkatan kemahiran dan latihan semula penting bagi memastikan tenaga kerja bersedia menghadapi perubahan,” katanya. – UTUSAN










