Bersediakah reka bentuk pangsapuri Malaysia untuk tenaga hijau?

Bersediakah reka bentuk pangsapuri Malaysia untuk tenaga hijau?

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REKA bentuk sebahagian kediaman bertingkat di Malaysia  masih belum benar-benar bersedia untuk menyokong peralihan kepada penggunaan tenaga hijau, khususnya bangunan yang dibina sebelum dasar dan garis panduan pembangunan mampan diperluaskan.

Ini kerana, bangunan yang dibina dengan konsep mesra tenaga hijau adalah lebih mudah dan kos efektif berbanding menjadikan sesebuah bangunan sedia ada menyokong inisiatif tersebut kerana ia bakal menelan kos yang tinggi.

Justeru, ketika ini, aspek kecekapan tenaga serta keupayaan bangunan menyokong infrastruktur hijau menjadi antara elemen penting yang perlu diberi perhatian dalam pembangunan sektor perumahan.

Langkah itu perlu dilaksanakan seiring dengan perkembangan teknologi serta peningkatan penggunaan tenaga boleh baharu bagi memastikan sektor kediaman bergerak ke arah pembangunan lebih mampan seiring dengan usaha kerajaan mencapai agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Felo Penyelidik Bersekutu di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Muhammad Nazhan Kamaruzuki berkata, pembangunan konsep kediaman vertikal atau bertingkat tinggi seperti pangsapuri dan kondominium sepatutnya menyokong agenda kelestarian bandar kerana mampu menjimatkan penggunaan tanah yang semakin terhad selain mengurangkan perebakan bandar.

“Bagaimanapun, perkara ini tidak berlaku di Malaysia kerana konsep kediaman vertikal atau bertingkat tinggi sememangnya memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi bagi memastikan setiap fasiliti dan infrastruktur dapat beroperasi untuk menampung kepadatan penghuni.

“Terdapat kajian akademik yang mendapati reka bentuk kediaman vertikal lebih mengutamakan nilai estetika bangunan seperti penggunaan fasad kaca yang akhirnya meningkatkan keperluan tenaga untuk tujuan penyejukan bangunan.

“Reka bentuk sebegini kelihatan moden dan menarik, namun tidak mengambil kira realiti iklim tropika negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Muhammad Nazhan berkata, walaupun terdapat pangsapuri dan kondominium yang menerima penarafan hijau, aspek kecekapan tenaga perlu diterapkan sejak peringkat reka bentuk sebelum diterjemahkan dalam fasa pembinaan.

“Namun, kebanyakan ba­ngunan pangsapuri sedia ada berdepan cabaran untuk ber­alih kepada penggunaan tenaga lebih hijau serta melaksanakan agenda kelestarian secara menyeluruh,” katanya.

Mengulas mengenai faktor teknologi hijau masih belum digunakan secara meluas, beliau berkata, teknologi yang boleh dipasang pada pangsapuri sedia ada adalah terhad disebabkan kekangan teknikal kejuruteraan serta peraturan perundangan.

“Agenda penghijauan sektor kediaman termasuk pangsapuri dan kondominium perlu diterapkan pada setiap peringkat pembangunan projek iaitu perancangan dan kelulusan pihak berkuasa tempatan, reka bentuk, pembinaan serta pengurusan operasi.

“Setiap fasa mempunyai pendekatan dan teknologi hijau tertentu yang boleh atau tidak boleh diterapkan.

“Teknologi baharu seperti sistem penyimpanan tenaga melalui bateri atau konsep sisa kepada tenaga (waste-to-energy) perlu diperkenalkan dengan mengambil kira kekangan yang wujud dalam pembangunan kediaman vertikal,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, cabaran pelaksanaan teknologi hijau berkemungkinan berpunca daripada fragmentasi yang menjadi sebahagian budaya kerja dalam industri pembinaan.

Ujarnya, pemisahan skop kerja antara pihak yang mereka bentuk, membina serta mengurus operasi bangunan selepas siap menyebabkan tahap adaptasi teknologi pembinaan masih rendah dalam sektor perumahan, termasuk pelaksanaan teknologi tenaga hijau sepanjang rantaian pembangunan.

“Besar kemungkinan, arki­tek, jurutera dan kontraktor ti­dak memberi perhatian terhadap kos pengurusan strata yang akan ditanggung pemilik kerana ciri-ciri hijau tidak diterapkan sebaik mungkin sejak peringkat awal pembangunan.

“Maka, adaptasi teknologi hijau yang sepatutnya digarap pada fasa reka bentuk dan kelulusan perancangan menjadi terhad selepas bangunan kediaman siap.

“Selain itu, halangan utama pelaksanaan teknologi hijau di kediaman vertikal bukan sahaja melibatkan aspek teknikal kejuruteraan dan undang-undang berkaitan ruang harta bersama dalam pembangunan strata, tetapi turut melibatkan nilai serta pendekatan yang diterapkan dalam dasar awam berkaitan perancangan bandar,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN