Bayu Somerset buka cawangan ke-18 di Kangar - Utusan Malaysia

Bayu Somerset buka cawangan ke-18 di Kangar

TUANKU Dr. Lailatul Shareen Akashah Khalil (tengah) berkenan mencemar duli merasmikan cawangan baharu Bayu Somerset di Kangar, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenama fesyen gaya hidup tempatan, Bayu Somerset terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri apabila membuka cawangan ke-18 di Kangar Jaya Mall, Kangar, Perlis, sekali gus memperluas rangkaian perniagaannya di utara Semenanjung.

Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul Ariffin berkata, pembukaan cawangan ke-18 itu juga bertepatan dengan sambutan lima tahun penubuhan jenama berkenaan yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna.

Katanya, syarikat itu akan terus memperluaskan operasi dengan membuka beberapa lagi cawangan baharu di Johor, Melaka dan Sabah menjelang penghujung tahun ini.

“Pembukaan cawangan di Kangar ini merupakan sebahagian daripada perancangan pengembangan syarikat bagi mendekati lebih ramai pelanggan di seluruh negara.

“Kami mahu menawarkan pilihan pakaian tradisional yang bukan sahaja selesa dipakai, malah mempunyai rekaan eksklusif dengan penggunaan warna-warna ceria dan moden. Semua rekaan juga dihasilkan sendiri oleh pasukan kami,” katanya dalam kenyataan.

Pembukaan cawangan baharu itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang berkenan merasmikan premis berkenaan.

Baginda turut diiringi anakanda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Bersempena pembukaan cawangan baharu itu, Bayu Somerset turut menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan meraikan 10 penghuni perempuan daripada Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Mak Teh yang diberi peluang memilih pakaian, beg dan tudung.

Menurut Dania, Bayu Somerset sentiasa mengekalkan komitmen menawarkan produk berkualiti pada harga berpatutan bagi memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat.

Sementara itu, pengiring Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Mak Teh, Siti Hadijah Saad merakamkan penghargaan kepada Raja Puan Muda Perlis serta Bayu Somerset kerana memberi peluang kepada penghuni rumah kebajikan itu meraikan pembukaan cawangan berkenaan.

“Kami berbesar hati dan menjunjung kasih kepada Tuanku yang berkenan membelikan pakaian, beg dan tudung kepada anak-anak ini. Terima kasih juga kepada Bayu Somerset kerana menjemput kami bersama-sama memeriahkan majlis ini,” katanya.

Seorang penghuni rumah kebajikan itu, Nur Syuhadawati Abdul Rahman, 16, berkata, pengalaman menghadiri majlis berkenaan merupakan kenangan yang tidak akan dilupakan.

“Saya sangat gembira kerana ini kali pertama diraikan dalam majlis seperti ini. Pakaian yang disediakan juga cantik, selesa dipakai dan sesuai dengan cita rasa golongan muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN