Agro Padi-i Salam bantu pesawah biaya operasi penanaman padi

Agro Padi-i Salam bantu pesawah biaya operasi penanaman padi

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan (tiga dari kiri) pada gimik pelancaran AGRO Padi-i Salam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agrobank memperkenalkan Agro Padi-i Salam, sebuah kemudahan pembiayaan patuh syariah yang direka khusus bagi membantu pesawah membiayai kos operasi penanaman padi secara lebih sistematik, mampan dan inklusif.

Agro Padi-i Salam merupakan kemudahan pembiayaan produk padi yang berasaskan kontrak Bai’ Salam.

Ia merupakan kontrak jual beli patuh syariah yang pertama seumpamanya di Malaysia yang membolehkan pembiayaan disalurkan kepada pesawah bagi menampung kos operasi penanaman sebelum hasil tuaian diperoleh. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pembiayaan itu mencerminkan komitmen bank menerajui penyelesaian kewangan memenuhi keperluan sebenar sektor pertanian, di samping memperluaskan akses kepada pembiayaan patuh syariah untuk komuniti pesawah. 

“Melalui Agro Padi-i Salam, kami berharap dapat membantu pesawah memperoleh akses pembiayaan yang lebih mudah bagi mengurus kos operasi penanaman, sekali gus meningkatkan produktiviti dan pendapatan mereka. 

“Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen Agrobank dalam memperkukuh ekosistem padi dan beras negara demi menjamin bekalan makanan yang mampan untuk rakyat Malaysia.” katanya dalam kenyataan. 

Produk itu ditawarkan kepada pesawah di dalam dan di luar kawasan jelapang yang mempunyai sistem pengurusan sawah yang tersusun, termasuk mereka yang menjual hasil kepada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Kilang Padi Komersial (KPK) atau pembeli pihak ketiga.

Melalui Agro Padi-i Salam, pesawah boleh mendapatkan pembiayaan bermula daripada RM1,000 sehingga RM50,000, bergantung kepada keluasan kawasan tanaman dan kos sebenar penanaman. 

Tempoh pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga enam bulan bagi setiap musim penanaman dengan kemudahan yang boleh diperbaharui sehingga lima tahun. 

Selain itu, pembiayaan itu tidak memerlukan cagaran atau penjamin individu.

Ia sekali gus memudahkan akses kepada pembiayaan bagi golongan pesawah yang layak iaitu pesawah individu yang berumur antara 18 tahun pada tarikh permohonan sehingga tidak melebihi 70 tahun pada tarikh matang pembiayaan.

Kemudahan pembiayaan tersebut mengisi jurang pembiayaan yang dihadapi oleh pesawah dengan membolehkan mereka memperoleh modal kerja lebih awal berdasarkan hasil tuaian yang akan datang.

Ini sekali gus menyokong kelangsungan penanaman padi dan memperkukuh keterjaminan makanan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN