AEON Bank permudah pembukaan akaun digital untuk anggota ATM - Utusan Malaysia

AEON Bank permudah pembukaan akaun digital untuk anggota ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AEON Bank memperkenalkan integrasi Kad Pengenalan MyTentera dalam proses pengesahan elektronik Kenali Pelanggan Anda (eKYC), sekali gus memudahkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuka akaun secara digital dengan lebih pantas dan selamat.

Pelaksanaan kemudahan itu diumumkan sempena sambutan Hari Pahlawan sebagai sebahagian daripada usaha bank berkenaan memperluaskan akses kepada perkhidmatan perbankan digital yang lebih inklusif, mudah dan mesra pelanggan.

Menerusi integrasi tersebut, anggota ATM yang memiliki Kad Pengenalan MyTentera yang sah hanya perlu memuat turun aplikasi AEON Bank bagi melengkapkan proses pendaftaran dan mengaktifkan Akaun Simpanan-i pada bila-bila masa serta di mana sahaja.

Selepas pendaftaran selesai, pelanggan boleh mengakses pelbagai produk dan perkhidmatan patuh Syariah yang ditawarkan AEON Bank, termasuk Akaun Simpanan-i, Kad Debit-i AEON Bank x Visa, Deposit Bertempoh-i, Savings Pot, DuitNow QR, pembayaran zakat, takaful, JomPAY, pembayaran bil utiliti serta pelbagai kemudahan pembayaran digital melalui rangkaian rakan strategik dan peniaga.

Selain itu, bank berkenaan turut menawarkan Neko Missions, program ganjaran berasaskan gamifikasi yang pertama seumpamanya di Malaysia, serta Neko Sensei, mentor pengurusan kewangan yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pelanggan mengurus kewangan dengan lebih berkesan.

AEON Bank berkata, semua produk deposit yang layak di bawah Aeon Bank dan AEON Bank Biz dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit, dengan perlindungan diberikan secara automatik tanpa sebarang bayaran.

Menurut bank itu, pengenalan sokongan terhadap Kad Pengenalan MyTentera merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan untuk mengurangkan kekangan dalam urusan perbankan digital dan memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati akses kepada perkhidmatan kewangan yang selamat serta mudah.

AEON Bank berkata, pihaknya akan terus memperkukuh keupayaan digital dan memperkenalkan penyelesaian perbankan Islamik yang inovatif bagi memenuhi keperluan pelanggan, di samping menyokong pertumbuhan sektor perbankan Islam serta agenda pembangunan ekonomi digital Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN