Trainocate Malaysia perkasa 116 belia dengan kemahiran kerjaya AI - Utusan Malaysia

Trainocate Malaysia perkasa 116 belia dengan kemahiran kerjaya AI

BARISAN graduan dan pengurusan sempena Majlis Graduasi dan Peningkatan Kemahiran Digital Ulang Tahun Ke-33 serta Program Trainocate Career Jumpstart, di sini baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia latihan teknologi maklumat (IT) dan pembangunan profesional, Trainocate Malaysia melabur dalam masa depan modal insan negara menerusi inisiatif kemahiran kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kebolehpasaran golongan belia yang kurang mendapat perhatian.

Program khas dinamakan TrAInocate Career Jumpstart 30 yang diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan syarikat itu berjaya melatih seramai 116 belia menerusi tiga kohort sepanjang Jun ini.

Inisiatif berkenaan mengumpulkan peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk rumah kebajikan, organisasi komuniti, serta kolej komuniti bagi merapatkan jurang literasi digital dan ketersediaan melangkah ke alam pekerjaan.

Kemuncak program tersebut diserikan dengan majlis graduasi yang dihadiri oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj, selain mendapat kerjasama strategik Selangor Youth Community (SAY) dan sokongan MyDIGITAL Corporation.

Pengarah Urusan Trainocate Malaysia, Ruby Kaur berkata, inisiatif berkenaan merupakan komitmen berterusan syarikat dalam membina ekosistem ekonomi digital yang lebih inklusif selain memastikan bakat muda tempatan tidak ketinggalan dalam era kepesatan automasi.

“Literasi AI kini semakin pesat menjadi kemahiran kebolehpasaran yang sangat penting. Melalui kerjasama dengan agensi seperti MyDIGITAL Corporation dan SAY, kami mahu memastikan golongan muda yang telah dilengkapi kemahiran ini dihubungkan terus dengan peluang baharu yang muncul dalam pasaran kerja tempatan,” katanya dalam kenyataan. 

Menerusi program tersebut, para peserta dilengkapi dengan “Kit Kerjaya AI” yang memfokuskan kepada empat kecekapan utama pasaran digital semasa.

Ia merangkumi penguasaan kandungan generatif untuk komunikasi profesional dan resume, keupayaan penyelidikan strategik menerusi platform Google Gemini, kemahiran komunikasi visual menggunakan teknologi AI Canva, serta kecekapan menyusun rantaian aliran kerja digital yang bersepadu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Aiman Syafiq Nazri berkata, program kolaborasi rentas sektor tersebut bukan sekadar memberikan pendedahan teori teknologi semata-mata, malah memberikan impak sosial yang mampan kepada komuniti sasar.

“Misi kami di SAY adalah untuk memastikan setiap belia Malaysia tanpa mengira latar belakang mempunyai peluang saksama untuk berkembang maju dalam ekonomi semasa.

“Program ini melengkapkan golongan muda dengan kemahiran praktikal serta keyakinan untuk membina kerjaya dalam sektor digital dan teknologi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN