PETALING JAYA: Topmix Berhad (Topmix), penyedia penyelesaian permukaan dekoratif terkemuka di Malaysia melancarkan myRuma, sebuah platform pengubahsuaian digital yang dipercayai di bawah anak syarikat milik penuhnya, Luma International Sdn. Bhd.
Pelancaran tersebut turut menyaksikan kerjasama strategik dengan RHB Bank Berhad dan RHB Islamic Bank Berhad (RHB Bank),serta Setia Ecohill 2 Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat milik penuh S P Setia Berhad (S P Setia).
Kerjasama ini dijangka memperkukuh landskap pengubahsuaian Malaysia melalui penyelesaian pembiayaan bersepadu dan akses yang lebih luas kepada pasaran hartanah.
Topmix berkata, myRuma menandakan pengembangan strategik syarikat yang melengkapkan perniagaan terasnya dalam penyelesaian permukaan dekoratif dengan platform berasaskan teknologi yang berpotensi tinggi untuk pertumbuhan.
“Platform ini direka bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan sepanjang proses renovasi. Bertujuan menangani isu kepercayaan dan kebolehpercayaan yang telah lama membelenggu industri ini, myRuma dibangunkan berasaskan empat teras utama.
“Ini termasuk jaminan kewangan, tadbir urus kualiti, perlindungan risiko dan rangkaian profesional yang disahkan. Melalui pendekatan ini, pemilik rumah dapat menikmati pengalaman pengubahsuaian yang lebih lancar dan diyakini,” katanya dalam kenyataan.
Di bawah ekosistem renovasi digital ini, RHB Bank akan menawarkan penyelesaian pembiayaan rumah dan renovasi yang disesuaikan dengan keperluan pelanggan.
Pada masa yang sama, kerjasama dengan S P Setia, menandakan kemasukan strategik myRuma ke dalam segmen perbandaran kediaman menerusi pembangunan utama Setia EcoHill 2.
“Kerjasama ini dijangka memperluaskan akses kepada penyelesaian pengubahsuaian rumah bersepadu untuk pemilik rumah dengan menghubungkan mereka kepada rangkaian profesional reka bentuk dan bina yang telah dipilih dan disahkan.
“Melangkah ke hadapan, kerjasama ini menyediakan asas kukuh untuk myRuma memperluaskan kehadirannya dalam komuniti perbandaran yang telah berkembang, sambil menyokong pemilik rumah dengan pengalaman pengubahsuaian yang lebih lancar, telus dan dipercayai,” jelasnya.
Pengarah Urusan Topmix dan Ketua Pegawai Eksekutif myRuma, Teo Quek Siang berkata, myRuma menghimpunkan pembiayaan, jaminan kualiti, perlindungan risiko dan profesional yang disahkan dalam satu ekosistem bersepadu bagi menangani cabaran lazim yang dihadapi pemilik rumah dalam proses ubah suai mereka.
“Walaupun pelaksanaan awal kami tertumpu di Lembah Klang, kami yakin pertumbuhan platform ini akan membuka jalan kepada peluasan ke lebih banyak wilayah di seluruh Malaysia.
“Penubuhan myRuma mencerminkan visi jangka panjang Topmix untuk melengkapkan perniagaan terasnya dengan penyelesaian kediaman yang inovatif serta mewujudkan peluang baharu bagi pertumbuhan yang mampan,” jelasnya. – UTUSAN









