PENGUATKUASAAN lebih ketat oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap isu buruh paksa dan asal usul produk berpotensi membuka peluang baharu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global.
Presiden Nasional Persatuan SME Malaysia, Dr. Chin Chee Seong berkata, syarikat pengeluar dijangka semakin berhati-hati dalam memilih pembekal bagi mengurangkan risiko sekatan perdagangan dan tarif, sekali gus mewujudkan ruang kepada PKS tempatan yang mampu memenuhi keperluan pematuhan antarabangsa.
Katanya, siasatan AS di bawah Seksyen 301 kini melangkaui sempadan domestik dan turut meneliti penglibatan pembekal dari negara ketiga dalam rantaian bekalan global.
“Penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap asal usul produk memaksa syarikat pengeluar mengurangkan rantaian bekalan yang terlalu panjang bagi mengelakkan risiko sekatan.
“Keadaan ini mendorong mereka beralih kepada konsep mendapatkan bekalan tempatan. Namun peluang ini hanya akan memihak kepada PKS tempatan sekiranya mereka dapat membuktikan pematuhan buruh dan ketelusan sumber produk melalui dokumentasi yang jelas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, cadangan tarif tambahan AS sebanyak 10 hingga 12.5 peratus ke atas 60 buah ekonomi mewujudkan trend lencongan perdagangan dan syarikat global kini aktif mencari hab selamat yang neutral untuk mengurangkan risiko tarif.
Bagaimanapun, beliau berkata, peluang tersebut tidak hadir secara automatik dan PKS Malaysia tidak boleh sekadar bergantung pada kelebihan geografi.
“Mereka wajib meningkatkan kapasiti pengeluaran, kualiti produk, keupayaan eksport serta pematuhan standard buruh antarabangsa agar melepasi tapisan ketat pembeli global.
“Tahap kesiapsiagaan PKS tempatan berbeza mengikut saiz dan tahap kematangan operasi masing-masing. PKS yang sudah terlibat dalam pasaran eksport lazimnya mempunyai sistem pengurusan dan lebih bersedia memenuhi tuntutan kebolehkesanan yang semakin menjadi keutamaan pembeli antarabangsa.
“Namun, PKS mikro dan kecil masih berdepan cabaran besar dari segi pengetahuan, latihan serta kos pematuhan. PKS memerlukan sokongan dari segi bimbingan, latihan dan pembiayaan untuk melaksanakan sistem yang dapat membuktikan ketelusan rantaian bekalan mereka,” ujarnya.
Chee Seong berkata, semakin banyak syarikat multinasional (MNC) yang beroperasi di Malaysia berminat membangunkan rangkaian pembekal tempatan sebagai sebahagian daripada strategi mengurangkan risiko berkaitan tarif dan pematuhan perdagangan.
Menurutnya, walaupun Malaysia mempunyai undang-undang yang melarang buruh paksa, isu yang dibangkitkan AS sering melibatkan rantaian bekalan yang merentasi beberapa negara.
“Bagi mengawal risiko dan memastikan pematuhan perdagangan yang telus, MNC kini lebih cenderung membina daya tahan rantaian bekalan tempatan.
“Perkembangan ini juga selari dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang memberi penekanan kepada integrasi PKS dalam ekosistem syarikat multinasional,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahan dan Perindustrian Kecil dan Sederhana (Samenta), William Ng berkata, Malaysia akan menjadi hab pilihan utama di Asia Tenggara jika berjaya membina reputasi sebagai ekosistem PKS yang 100 peratus telus, bebas buruh paksa dan cekap digital.
Beliau berkata, ini sekali gus membolehkan PKS kita meraih kontrak jangka panjang yang lebih bernilai tinggi, tanpa sewenang-wenangnya bergantung kepada bahan mentah atau komponen murah dari negara ketiga yang berisiko tinggi.
“Perkara ini membuka peluang kepada PKS tempatan yang mempunyai rekod pematuhan buruh yang bersih dan sah di bawah undang-undang Malaysia untuk menawarkan diri sebagai pembekal alternatif yang lebih selamat dan patuh perdagangan antarabangsa.
“Tetapi, ia datang dengan syarat yang ketat. Senario ini adalah peluang keemasan untuk strategi China Plus 1 atau penempatan semula rantaian bekalan. Syarikat global kini mencari destinasi yang mempunyai kestabilan politik dan pematuhan perdagangan seperti Malaysia.
“PKS tempatan boleh mengambil alih bahagian pasaran tersebut, asalkan mereka mampu membuktikan rantaian bekalan mereka sendiri bebas daripada unsur buruh paksa dan isu lambakan,” jelasnya. – UTUSAN










