SunCon raih tambahan kontrak projek pusat data di Johor - Utusan Malaysia

SunCon raih tambahan kontrak projek pusat data di Johor

SUNCON memperoleh tambahan kontrak kerja-kerja pembinaan dan penyiapan pencawang elektrik untuk dua projek pusat data di Johor. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sunway Construction Group Bhd. (SunCon) memperoleh tambahan kontrak kerja-kerja pembinaan dan penyiapan pencawang elektrik untuk dua projek pusat data di Johor daripada sebuah syarikat teknologi multinasional yang beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, SunCon berkata, tambahan kontrak yang diterima menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sunway Construction Sdn. Bhd. (SCSB) bernilai RM664.4 juta, menjadikan nilai keseluruhan kontrak berkenaan meningkat kepada RM865.6 juta.

Katanya, SCSB menerima arahan perubahan kepada Permintaan Perkhidmatan Projek (PSR) yang sebelum ini diterima pada 21 April 2026 bagi projek berkenaan.

“Nilai kontrak secara keseluruhan bagi kerja-kerja berkenaan adalah RM865.6 juta, termasuk cukai pegangan, cukai jualan dan perkhidmatan serta semua cukai lain yang berkaitan.

“Kerja-kerja tersebut telah bermula pada 21 April lalu. Satu daripada projek dijadualkan siap pada suku keempat 2027, manakala satu lagi projek dijadualkan siap pada suku kedua 2028,” katanya.

SunCon berkata, projek itu tertakluk kepada risiko biasa industri pembinaan termasuk turun naik harga bahan binaan, namun risiko tersebut dijangka dapat dikurangkan menerusi pengalaman dan kepakaran syarikat dalam melaksanakan projek pembinaan berskala besar.

Syarikat itu turut menjelaskan kontrak berkenaan tidak memberi kesan kepada modal saham atau pegangan saham pemegang saham utama kerana tidak melibatkan penerbitan saham baharu.

“Kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan SunCon bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan tahun-tahun berikutnya,” ujarnya.

Sehingga kini, SunCon telah memperoleh kontrak baharu bernilai RM4.2 bilion bagi tahun kewangan semasa, termasuk arahan perubahan terbaharu itu, manakala jumlah buku pesanan tertunggaknya kini mencecah RM8.8 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN