Stellaris tawar konsep kediaman urban mampan 

Stellaris tawar konsep kediaman urban mampan

STELLARIS yang menawarkan pilihan susun atur bermula daripada dua bilik tidur, tiga bilik tidur itu dibangunkan dengan GDV sebanyak RM784 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IJM Land bersama FCW Holdings Berhad memperkenalkan Stellaris, fasa terakhir dalam pembangunan perbandaran bercampur Riana Dutamas di Segambut yang menawarkan konsep kediaman bertingkat pegangan bebas bertaraf premium untuk memenuhi cita rasa gaya hidup bandar moden.

Pembangunan itu terletak bersebelahan dengan fasa perintis dan kedua sedia ada yang semakin matang iaitu Savio dan Savvy, sekali gus menawarkan hubungan yang lancar ke lokasi utama berhampiran termasuk Mont Kiara, Solaris Dutamas serta hab pusat bandar Kuala Lumpur.

Projek fasa terakhir dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM784 juta itu sekali gus memperkukuhkan momentum berterusan kumpulan serta melengkapkan keseluruhan pelan induk perbandaran Riana Dutamas yang secara keseluruhannya bernilai kira-kira RM1.95 bilion.

Menurut IJM Land, pelancaran projek berkenaan disokong kuat oleh rekod penyampaian cemerlang fasa-fasa terdahulu, di mana projek perintis Savio (GDV RM578 juta) berjaya diserahkan lebih awal pada September 2021, manakala fasa kedua Savvy (GDV RM592 juta) siap tepat pada masanya pada November 2024.

“Pembeli rumah masa kini lebih cenderung menilai sesuatu pembangunan berdasarkan prestasi yang telah dibuktikan di mana Savio dan Savvy masing-masing telah merekodkan kadar penghunian yang stabil sekitar 80 peratus dan 75 peratus setakat ini.

“Faktor penanda aras pasaran yang kukuh ini memberikan purata hasil sewaan semasa yang kompetitif sekitar 4.7 peratus, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi pemilik rumah dan pelabur terhadap fasa baharu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut syarikat, pembangunan Stellaris turut menarik minat golongan profesional muda, keluarga pelbagai generasi serta pelabur moden yang mengutamakan nilai kualiti jangka panjang.

“Selain itu, projek ini juga sesuai untuk mereka yang mahukan fleksibiliti ruang kediaman menerusi pilihan unit dwi kunci bagi menyokong gaya kerja hibrid atau pelaburan strategik.

“Pembeli juga menghargai kualiti pembinaan yang dijamin melalui standard penilaian mutu kerja QLASSIC serta pengiktirafan pensijilan bangunan hijau GreenRE yang menekankan kecekapan tenaga dan persekitaran yang lebih lestari,” katanya. 

Stellaris terletak secara strategik kira-kira 150 meter dari Stesen Komuter (KTM) Segambut melalui laluan berjalan kaki berbumbung yang disediakan, selain disokong dengan penyediaan perkhidmatan bas shuttle percuma secara berjadual ke stesen Transit Aliran Massa (MRT) berhampiran dan lokasi tumpuan sekitar.

Pembangunan berorientasikan transit (TOD) ini terdiri daripada menara yang menempatkan sejumlah 1,143 unit kediaman servis di atas tanah seluas kira-kira 2.34 hektar.

Pembangunan itu menawarkan pilihan susun atur bermula daripada dua bilik tidur, tiga bilik tidur sehinggalah konfigurasi dwi kunci dengan keluasan binaan antara 766 kaki persegi hingga melebihi 1,206 kaki persegi, dengan harga jualan yang mampu dimiliki bermula daripada RM450,000 seunit.

Bagi meningkatkan keselesaan harian, Stellaris turut membawakan konsep runcit dan dewan makanan bersepadu yang memuatkan premis makanan dan minuman (F&B), farmasi serta kedai barangan keperluan harian di bawah satu bumbung.

Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata, Stellaris menghimpunkan segala aspek terbaik daripada fasa terdahulu dengan spesifikasi unit yang dipertingkatkan bagi melengkapkan ekosistem perbandaran tersebut.

“Stellaris dibangunkan dengan mengambil kekuatan yang telah terbukti menerusi Savio dan Savvy. Pengenalan fasa terakhir ini merupakan kesinambungan strategi syarikat dalam menyediakan pilihan kediaman berkualiti tinggi yang praktikal serta mampu menyokong transformasi Segambut sebagai enklaf kediaman bandar utama di ibu kota,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN